Belanjawan 2027 perlu fokus bantu isi rumah, perniagaan

Foto janaan AI/RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada langkah yang dapat menyokong isi rumah serta membantu sektor perniagaan mengurus peningkatan kos bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurangkan beban perbelanjaan harian isi rumah untuk meningkatkan kemampuan berbelanja dan mobiliti.
  • Teruskan kemudahan berkaitan petrol bersubsidi seperti BUDI95 bagi mengurangkan kos perjalanan dan menyokong perbelanjaan domestik.
  • Tangani kenaikan kos input perniagaan melalui jaminan pembiayaan serta langkah mengurangkan kos operasi, bukan bergantung sahaja pada subsidi.
  • Permudahkan proses kelulusan dan kurangkan birokrasi untuk mengurangkan kos perniagaan serta menyokong kelangsungan syarikat.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Bhd, Firdaos Rosli berkata, bagi isi rumah, kerajaan boleh memfokuskan untuk mengurangkan beban perbelanjaan harian, termasuk kemudahan berkaitan penggunaan petrol bersubsidi seperti Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Menurutnya, kemudahan itu memberi ruang lebih besar kepada isi rumah untuk melakukan perjalanan dan berbelanja, sekali gus membantu menyokong aktiviti penggunaan domestik.

“Ia membolehkan lebih ramai rakyat melakukan perjalanan dalam negara, bertemu sanak saudara dan berbelanja.

“Pada masa sama, kadar inflasi yang masih menurun menunjukkan kenaikan harga kekal terkawal dan berada pada paras yang boleh dijangka,” katanya selepas Biz Malaysia di sini.

Bagi sektor perniagaan pula, beliau melihat peningkatan kos input sebagai antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027, khususnya bagi membantu syarikat mengurus kos operasi.

Sokongan tersebut tidak semestinya bergantung kepada subsidi, sebaliknya boleh merangkumi jaminan pembiayaan serta langkah mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Pada masa sama, usaha mempermudah proses kelulusan dan mengurangkan birokrasi boleh membantu mengurangkan kos kepada syarikat, sekali gus menyokong kelangsungan perniagaan pada tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.