
KUALA LUMPUR, 19 Januari – Pelabur asing meneruskan aliran belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM716.1 juta, iaitu yang terbesar sejak pertengahan Mei tahun lalu berjumlah RM1.68 bilion, menurut MBSB Investment Bank Bhd.
- Pelabur asing mencatat aliran masuk bersih RM716.1 juta minggu kedua berturut-turut.
- Sektor utama menerima aliran masuk: perkhidmatan kewangan, produk perindustrian dan perladangan.
- Institusi tempatan merekodkan aliran keluar bersih RM588.2 juta selepas lapan minggu belian bersih.
Bank pelaburan itu dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 16 Januari 2026 memaklumkan pelabur asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Khamis sebanyak RM330.0 juta.
”Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM365.9 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM177.3 juta) dan perladangan (RM90.1 juta).
”Sementara itu, hanya tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih iaitu pembinaan (RM54.3 juta), penjagaan kesihatan (RM52.9 juta) dan hartanah (RM29.3 juta),” jelas MBSB.
Tambah firma itu, institusi tempatan mengakhiri belian bersih selama lapan minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM588.2 juta minggu lepas.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan menyeluruh, diterajui oleh peruncit tempatan sebanyak 14.0 peratus, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing pada 18.2 peratus dan 18.7 peratus.
Sementara itu, pelabur asing di lapan pasaran Asia kembali kepada aktiviti jualan bersih selepas mencatatkan aliran masuk pada minggu sebelumnya, melibatkan aliran keluar dana sebanyak AS$954.6 juta.
Pasaran India mencatatkan aliran keluar asing terbesar diikuti oleh Vietnam.
Sebaliknya, aliran masuk bagi pasaran serantau di bawah liputan MBSB diterajui oleh Taiwan, Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia.