
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dijangka mencipta sejarah apabila menerbitkan Sukuk Biru sulung pada suku ketiga tahun ini, yang disifatkan sebagai instrumen pembiayaan biru pertama di dunia menggunakan taksonomi yang dibangunkan di Malaysia.
- Taksonomi dibangunkan bersama Maybank dan RAM Sustainability dengan panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
- Rangka kerja memastikan aset air boleh disekuritikan dan dijadikan cagaran, menjamin pembayaran balik dan pendekatan pembiayaan baharu.
- PAAB merekodkan pelaburan RM46.88 bilion untuk 21 loji rawatan, 42 takungan dan 3,263 km paip baharu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, taksonomi itu dibangunkan bersama Maybank dan RAM Sustainability dengan panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Beliau berkata, penerbitan sukuk itu menggunakan aset air sebagai cagaran menerusi satu rangka kerja yang memastikan pembayaran balik dilaksanakan secara teratur.
“Kalau kita melihat kepada aset yang dijadikan cagaran bagi sukuk ini, ia melibatkan aset-aset air. Menerusi rangka kerja yang memastikan pembayaran balik sukuk dilaksanakan dengan baik, ia memperkenalkan pendekatan baharu bagaimana aset boleh disekuritikan dan dijadikan cagaran.
“Pendekatan ini sekali gus membuka peluang untuk meningkatkan pelaburan dalam aset-aset air negara, sekali gus memperkukuh pembiayaan bagi pembangunan sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan PAAB di ibu negara hari ini.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata, penerbitan Sukuk Biru itu dijangka membuka lembaran baharu dalam pembiayaan sektor air negara, selain menarik lebih banyak pelaburan mampan bagi pembangunan infrastruktur bekalan air.
Sehingga 31 Disember 2026, PAAB merekodkan pelaburan yang dipindahkan dan komited berjumlah RM46.88 bilion bagi industri perkhidmatan air negara.
Pelaburan itu digunakan untuk membiayai pembinaan 21 loji rawatan air, 42 takungan air serta pemasangan 3,263 kilometer paip baharu bagi memperkukuh infrastruktur bekalan air di seluruh negara.
PAAB ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang berperanan membangunkan serta membiayai aset bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaminan bekalan air negara.