
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) dan Smart Recycler Machine (SRM) antara bank mulai 1 Julai dijangka membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna yang masih bergantung kepada transaksi tunai.
- Keputusan dicapai hasil perbincangan Kementerian Kewangan dan institusi perbankan untuk memudahkan akses perkhidmatan kewangan dan tidak membebankan pengguna.
- Semua bank bersetuju memansuhkan caj selepas mengambil kira keperluan rakyat serta usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup.
- Tindakan ini memberi manfaat terutama kepada pengguna di kawasan yang mempunyai pilihan ATM terhad.
- Pemansuhan ini sebahagian usaha memperluas akses kewangan dan membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara Kementerian Kewangan dan institusi perbankan bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan lebih mudah dan tidak membebankan pengguna.
“Semua bank bersetuju memansuhkan caj berkenaan selepas mengambil kira keperluan rakyat serta usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup.
“Kita melihat bank mempunyai keupayaan untuk menyelaraskan kos dalam sistem masing-masing. Sebab itu kita menggalakkan bank memansuhkan caj RM1 ini dan Alhamdulillah semua bank bersetuju kerana memahami keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Rangka Kerja Kewangan Islam Lestari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di ibu negara.
Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, sebelum ini terdapat kawasan yang hanya mempunyai sebuah mesin ATM daripada satu bank sahaja, menyebabkan pelanggan bank lain perlu membayar caj RM1 setiap kali melakukan pengeluaran tunai.
Katanya, pemansuhan caj itu memberi manfaat terutama kepada pengguna di kawasan yang mempunyai pilihan ATM terhad.
Beliau berkata, bank juga mempunyai keupayaan untuk menyelaraskan kos operasi dalam sistem masing-masing, sekali gus membolehkan langkah berkenaan dilaksanakan demi kepentingan pengguna.
Pemansuhan caj pengeluaran ATM antara bank itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas akses perkhidmatan kewangan serta membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik.