
AMPANG, 30 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalinkan kerjasama strategik bersama TikTok Shop menerusi komitmen dana RM180 juta bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta memperkukuh perniagaan usahawan tempatan.
- Program Jualan Ihsan RAHMAH diperluas secara dalam talian, memberi akses barangan keperluan pada harga lebih rendah kepada pengguna.
- Inisiatif termasuk pengurangan komisen, rebat penghantaran seluruh negara, serta tawaran diskaun bagi barangan keperluan harian.
- Sokongan kepada usahawan tempatan melalui komisen sifar diperluas dan pengurangan yuran platform, memperkukuh ekosistem perniagaan digital negara.
Kerjasama itu menjadikan TikTok Shop sebagai platform e-dagang pertama yang melaksanakan Program Jualan Ihsan RAHMAH secara dalam talian, sekali gus memperluas akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif digital itu selari dengan agenda kerajaan dalam membantu rakyat, memartabatkan produk tempatan serta meningkatkan pendapatan usahawan.
“Pertama, ia merupakan agenda untuk kita memartabatkan produk tempatan. Kedua, agenda untuk membantu menguruskan isu kos sara hidup, dan ketiga, agenda bagi membantu para usahawan kita yang turut berkait rapat dengan usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
“Apa yang dianjurkan oleh TikTok Shop hari ini sebenarnya selari dengan agenda yang telah digariskan oleh kerajaan,” katanya ketika merasmikan Pesta #JomLokal 2026 di sini, hari ini.
Melalui dana komitmen RM180 juta itu, tiga inisiatif utama diperkenalkan iaitu pengurangan yuran komisen bagi barangan keperluan, rebat penghantaran ke seluruh negara serta tawaran diskaun bagi barangan keperluan harian.
Dalam usaha menyokong peniaga tempatan, insentif komisen sifar peratus turut diperluaskan kepada 56 subkategori barangan keperluan.
Langkah itu disokong dengan pengurangan yuran platform antara 0.5 hingga 9.1 mata peratusan bagi 39 subkategori lain, sekali gus membantu peniaga mengurangkan kos operasi serta menawarkan harga lebih kompetitif kepada pengguna.
Menurut Datuk Armizan, kerjasama itu turut menyokong kempen Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) kendalian KPDN yang dilaksanakan di seluruh negara bagi menggalakkan pembelian produk tempatan.
Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta itu mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara terus oleh rakyat, selain memperkukuh ekosistem perniagaan digital negara.