Moratorium bayaran sewa bantu ringankan beban PMKS – UDA

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan tiga inisiatif utama melalui UDA Holdings Berhad bagi membantu meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana, PMKS yang terkesan akibat krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diskaun sewa sehingga 20% bermula Mei hingga Disember 2026, 10% untuk semua penyewa, tambahan 10% bersasar kepada usahawan PMKS.
  • Moratorium pembayaran sewa lebih fleksibel, kebenaran tunggakan sehingga tiga bulan berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi.
  • UDA menanggung kenaikan caj perkhidmatan kompleks serta keseluruhan bantuan bernilai sekitar RM12.5 juta untuk mengurangkan kos operasi PMKS.

Menerusi kenyataan, KUSKOP memaklumkan, langkah itu menyahut saranan Perdana Menteri agar kadar sewaan premis perniagaan diturunkan bagi membantu peniaga dan usahawan yang beroperasi di kompleks beli-belah serta bangunan komersial milik dan seliaan UDA.

Antara inisiatif diperkenalkan termasuk diskaun sewa sehingga 20 peratus bermula Mei hingga Disember 2026, melibatkan potongan 10 peratus kepada semua penyewa dan tambahan 10 peratus secara bersasar kepada usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA.

Selain itu, UDA turut melaksanakan moratorium pembayaran sewa yang lebih fleksibel termasuk kebenaran tunggakan sehingga tiga bulan kepada penyewa terjejas berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi.

Pada masa sama, UDA juga akan menanggung kenaikan caj perkhidmatan operasi kompleks sebagai bantuan kos utiliti bagi mengurangkan tekanan kos operasi PMKS.

UDA dijangka menanggung kos sebanyak RM12.5 juta bagi melaksanakan keseluruhan bantuan tersebut kepada peniaga dan usahawan PMKS.