
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan memperkenalkan langkah bantuan sementara susulan kekurangan lateks Getah Nitril Butadiena (NBR) akibat sekatan di Selat Hormuz.
- Gangguan laluan perkapalan global dan kenaikan harga minyak Brent menjejaskan bekalan serta kos NBR bagi pengeluaran sarung tangan nitril.
- Oon Kim Hung cadangkan kerajaan bekerjasama kementerian, suruhanjaya dan pembekal gas untuk sokongan termasuk penggantungan sementara tanggungjawab ambil atau bayar.
- MARGMA juga mencadangkan fleksibiliti kontrak, pengecualian atau rebat volum sehingga bekalan kembali stabil.
- Minta pembekal NBR tempatan utamakan bekalan domestik untuk memastikan kesinambungan pengeluaran dan pematuhan komitmen eksport ke lebih 195 negara.
Menurut persatuan itu, gangguan laluan perkapalan global serta kenaikan harga minyak mentah Brent melebihi AS$100 setong telah menjejaskan bekalan dan kos NBR, iaitu bahan mentah utama bagi pengeluaran sarung tangan nitril.
Presidennya, Oon Kim Hung mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan kementerian, suruhanjaya serta pembekal gas bagi menyediakan sokongan termasuk penggantungan sementara tanggungjawab ambil atau bayar (take-or-pay, TOP).
Selain itu, beliau turut mencadangkan fleksibiliti, pengecualian atau rebat terhadap volum kontrak sehingga bekalan kembali stabil.
“Langkah ini penting bagi membantu pengilang mengurus kos operasi serta mengurangkan tekanan kewangan akibat gangguan rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia yang membekalkan kira-kira 45 peratus sarung tangan getah dunia berdepan risiko gangguan bekalan, sekali gus berpotensi menjejaskan reputasi negara sebagai pembekal utama peralatan pelindung diri (PPE).
Sehubungan itu, MARGMA turut menggesa pembekal NBR tempatan mengutamakan bekalan domestik bagi memastikan kesinambungan pengeluaran serta pematuhan komitmen eksport ke lebih 195 negara.
Industri sarung tangan getah kekal sebagai sektor eksport strategik dengan nilai RM14 bilion pada 2025, menyumbang sekitar 64 peratus daripada eksport produk getah negara.