
KUALA LUMPUR, 26 Mac- Langkah kerajaan menyelaraskan program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sambil mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dilihat wajar dan pragmatik oleh pakar ekonomi dalam memastikan subsidi lebih mampan dan bekalan tenaga kekal stabil.
- Pendekatan bersasar BUDI95 penting untuk mengurus ketidaktentuan pasaran tenaga global dan gangguan laluan strategik seperti Selat Hormuz.
- Langkah ini membantu kerajaan mengurangkan tekanan fiskal dan menyalurkan subsidi secara tepat kepada golongan yang memerlukan.
- Ia mengurangkan ketirisan serta mengekalkan kemampanan fiskal tanpa menjejaskan majoriti rakyat.
- Pendekatan ini memastikan bekalan tenaga kekal stabil dan rakyat terus dilindungi daripada kesan kenaikan harga global.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali menegaskan pendekatan bersasar itu penting bagi menangani ketidaktentuan pasaran tenaga global termasuk gangguan bekalan di laluan strategik seperti Selat Hormuz.
“Langkah penyesuaian bersasar seperti BUDI95 membantu kerajaan mengurus tekanan fiskal ketika berdepan ketidaktentuan harga tenaga global, sambil memastikan bekalan kekal stabil dan subsidi disalurkan secara tepat kepada golongan yang memerlukan.
“Ia juga mengurangkan ketirisan dan mengekalkan kemampanan fiskal tanpa menjejaskan majoriti rakyat,” katanya kepada RTM hari ini.
Beliau menambah pendekatan itu penting dalam memastikan subsidi kerajaan kekal mampan, bekalan tenaga mencukupi dan rakyat terus dilindungi daripada kesan kenaikan harga global.
Dalam perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, beliau mengumumkan BUDI95 akan diselaraskan daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.
Perdana Menteri berkata langkah berkenaan bersifat sementara susulan konflik di Asia Barat ketika ini.