
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini, melanjutkan aliran menaiknya di tengah-tengah lonjakan niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
- Niaga hadapan getah Jepun mengukuh susulan yen lemah dan kenaikan harga getah fizikal di Thailand.
- Sentimen pasaran disokong pemulihan harga minyak berikutan laporan usaha diplomatik Donald Trump untuk selesaikan konflik Asia Barat.
- Kenaikan harga minyak dijangka memacu kos pengeluaran getah sintetik, memberi tekanan kepada pasaran getah asli.
- Namun kenaikan lanjut terhad oleh tanda-tanda inflasi AS mungkin meningkat, termasuk kenaikan import AS pada Februari.
Niaga hadapan getah Jepun telah mengukuh, didorong oleh yen yang lebih lemah dan peningkatan dalam harga getah fizikal di Thailand.
Sentimen pasaran turut didorong oleh pemulihan harga minyak mentah berikutan laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang giat mencari penyelesaian segera bagi konflik di Asia Barat.
“Harga minyak mentah melonjak apabila pasaran menerima kesan daripada isyarat diplomatik yang tidak memberangsangkan dari Tehran. Harga minyak yang lebih tinggi biasanya akan memacu kos getah sintetik,” katanya kepada Bernama.
Minyak mentah Brent telah naik sebanyak 3.41 peratus kepada US$105.7 setong sekarang ini.
Namun begitu, beliau menyatakan bahawa kenaikan selanjutnya dihadkan oleh tanda-tanda bahawa inflasi AS dijangka lebih tinggi pada bulan-bulan akan datang.
“Harga import AS mencatatkan kenaikan terbesar dalam hampir empat tahun pada Februari, bertambah sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh lonjakan kos tenaga, menandakan inflasi mungkin meningkat pada bulan-bulan akan datang,” kata peniaga itu.
Pada 3 petang tadi, harga SMR 20 menokok 11.50 sen kepada 799.50 sen sekilogram, manakala lateks pula naik 2.50 sen kepada 684.50 sen sekilogram.- BERNAMA