Malaysia catat jumlah dagang tertinggi sebanyak RM3 trilion buat pertama kalinya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat/Foto JaPen

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Malaysia terus mencatat trend perdagangan positif dan tertinggi dalam sejarah apabila jumlah perdagangan bagi tahun 2025 mencecah RM3 trilion buat pertama kalinya, menurut Perdana Menteri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar umum perincian angka perdagangan akan diumumkan oleh MATRADE tengah hari ini.
  • KDNK 2025 berkembang 4.9 peratus, melebihi unjuran awal kerajaan.
  • Momentum ekonomi disokong oleh kestabilan politik dan kejelasan dasar.
  • Kerjasama semua pihak berkepentingan bantu kekalkan trend perdagangan positif.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perincian penuh angka perdagangan berkenaan akan diumumkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation pada tengah hari ini.

“Tetapi satu kenyataan yang sangat membanggakan,
Alhamdulillah, ialah yang akan diumumkan oleh MATRADE pada 12 tengah hari ini, iaitu trend perdagangan positif dan tertinggi dalam sejarah.

“Sejarah tercipta dan angka itu akan diumumkan secara terperinci tengah hari ini dengan jumlah perdagangan untuk tahun 2025 mencecah RM3 trilion buat pertama kalinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi ekonomi Malaysia pada 2025 terus menunjukkan momentum positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.9 peratus, mengatasi unjuran awal kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

Menurut beliau, momentum positif itu didorong oleh kestabilan politik, kejelasan dasar serta kerjasama kukuh semua pihak berkepentingan, termasuk perkhidmatan awam, sektor perniagaan dan pelabur.