
KUALA LUMPUR, 20 Januari – Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE FBM KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal berada pada landasan positif selepas berjaya melepasi paras psikologi 1,700 mata.
- FBM KLCI dijangka kekal positif dan berpotensi capai sekitar 1,750 mata menjelang akhir 2026 jika momentum diteruskan.
- Prestasi ekonomi domestik yang kukuh, termasuk KDNK suku keempat lebih baik daripada jangkaan, menyokong keyakinan pasaran.
- Cabaran luaran seperti dasar ekonomi AS dan isu tarif boleh menjejaskan sentimen pelabur sepanjang 2026.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pencapaian ini mencerminkan keyakinan pasaran yang semakin kukuh terhadap prestasi ekonomi domestik.
Katanya, angka makroekonomi Malaysia ketika ini mempamerkan kemajuan yang baik, khususnya pada suku keempat tahun lalu dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur pada 5.7 peratus, melebihi jangkaan pasaran.
Prestasi memberangsangkan itu meningkatkan minat pelabur asing, dengan belian bersih mencecah lebih RM700 juta pada minggu lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara.
“Sekiranya momentum ini berterusan, FBMKLCI diunjurkan berpotensi untuk mencecah paras sekitar 1,750 mata menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui di Kota Media, Angkasapuri.
“Namun begitu, pasaran masih berdepan cabaran luaran, khususnya ketidaktentuan dasar ekonomi Amerika Syarikat termasuk isu tarif, yang boleh mempengaruhi sentimen pelabur sepanjang 2026, ” tambahnya.
Di peringkat domestik, beliau berpandangan dasar fiskal kerajaan yang berhemah serta pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia berupaya untuk menjadi pemangkin kepada kemasukan pelabur, seterusnya memberi kesan positif kepada prestasi pasaran saham tempatan.