Krisis tenaga global jadi pemangkin peralihan solar di Malaysia

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 6 April – Krisis tenaga global ketika ini membuka peluang besar kepada industri tenaga boleh baharu (TBB), khususnya tenaga solar, untuk berkembang lebih pesat dalam kalangan pengguna industri dan domestik di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import dengan memanfaatkan tenaga solar tempatan yang lebih stabil.
  • Peralihan kepada solar jimat kos: tarif elektrik sekitar RM0.51/kWh berbanding kos solar antara RM0.29 hingga RM0.34/kWh.
  • Tingkatkan pelaburan grid pintar, insentif kewangan, R&D dan percepat kelulusan projek untuk atasi cabaran grid dan kos penyimpanan.

Penasihat Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (PINTARE), Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata ketidaktentuan bekalan tenaga dunia seharusnya menjadi peringatan penting bagi Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil import.

Menurut beliau, tenaga solar sebagai sumber tempatan dilihat lebih stabil dan kurang terdedah kepada kesan ketidaktentuan geopolitik dunia, selain berfungsi sebagai pelaburan jangka panjang yang berkesan dalam mengawal kos tenaga.

“Tenaga solar merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu melindungi kos tenaga. Dengan tarif elektrik semasa sekitar RM0.51/kWh berbanding kos solar antara RM0.29 hingga RM0.34/kWh, peralihan kepada solar boleh menjimatkan sehingga 43%,” katanya kepada RTM.

Guntor berkata trend peralihan kepada tenaga solar kini semakin ketara dalam kalangan industri intensif tenaga seperti sektor perkilangan, pusat data dan logistik.

Tanbah beliau, penggunaan dalam sektor domestik juga menunjukkan peningkatan yang didorong oleh kepelbagaian model pembiayaan fleksibel yang memudahkan akses kepada pengguna di rumah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa industri solar masih berdepan beberapa cabaran utama termasuk kekangan infrastruktur grid, kos sistem storan tenaga yang tinggi serta risiko kesesakan grid apabila kapasiti solar meningkat.

Sehubungan itu, PINTARE menggesa agar reformasi menyeluruh dilaksanakan merangkumi pelaburan dalam grid pintar, penyediaan insentif kewangan yang lebih agresif serta dasar jangka panjang yang konsisten melalui liberalisasi pasaran tenaga.

Langkah-langkah strategik seperti mempercepatkan proses kelulusan projek dan memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan turut dilihat penting bagi memacu penggunaan tenaga solar secara lebih meluas di Malaysia.