
KUALA LUMPUR, 3 April – Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.5 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum ini, susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
- Pertumbuhan disokong oleh eksport elektrik dan elektronik serta penggunaan domestik yang berterusan.
- Risiko gangguan bekalan minyak mentah tetap wujud walaupun kapal Malaysia diberikan laluan bebas melalui Selat Hormuz.
- Tekanan harga pada RON97, diesel tanpa subsidi, tarif elektrik dan makanan naikkan IHP; BNM dijangka kekal berhati-hati pada OPR 2.75%.
Pertumbuhan ekonomi negara itu akan disokong oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh serta aktiviti penggunaan domestik yang berterusan.
Dalam nota penyelidikan hari ini, HLIB menyatakan risiko terhadap bekalan minyak mentah tidak boleh diketepikan sepenuhnya, walaupun kapal Malaysia diberikan laluan bebas melalui Selat Hormuz.
Bank pelaburan itu turut menjangkakan tekanan harga, khususnya melibatkan RON97, diesel tanpa subsidi, tarif elektrik serta harga makanan susulan kenaikan kos komoditi dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Susulan itu, unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi 2026 turut dinaikkan kepada 2.0 peratus daripada 1.7 peratus sebelum ini.
“Bank Negara Malaysia juga dijangka mengambil pendekatan berhati-hati serta tunggu dan lihat, dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus, pada masa yang sama, menilai impak perang Iran, “katanya.