
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kepimpinan koperasi tempatan diseru lebih kreatif dan berani meneroka bidang perniagaan baharu bagi memastikan gerakan koperasi kekal relevan serta mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
- Koperasi perlu mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak bergantung semata-mata kepada pembiayaan kredit berasaskan kakitangan awam.
- Teroka teknologi digital termasuk fintech, e-dagang dan kecerdasan buatan untuk membuka peluang perniagaan baharu.
- Manfaatkan sektor pertanian dan keselamatan makanan untuk kurangkan import, tambah pengeluaran domestik dan wujudkan peluang pekerjaan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah memaklumkan, koperasi khususnya dalam kluster besar dan sederhana tidak boleh terus bergantung kepada satu sumber pendapatan atau aktiviti teras semata-mata.
Beliau berkata, koperasi kredit yang menjadikan aktiviti pembiayaan sebagai perniagaan utama perlu mula mempelbagaikan sumber pendapatan memandangkan pasaran berkenaan semakin mencabar dan berdepan kekangan untuk terus berkembang.
“Kebanyakan koperasi kredit bergantung kepada pembiayaan yang menyasarkan kakitangan kerajaan. Namun pertambahan penjawat awam tidak begitu ketara dan kenaikan gaji juga terhad, sekali gus mengehadkan potensi pertumbuhan sektor itu pada masa depan.
“Jika masih bergantung kepada satu aktiviti sahaja, koperasi akan berdepan kesukaran untuk berkembang. Sebab itu saya menyarankan koperasi meneroka aktiviti baharu yang mempunyai impak tinggi,” katanya pada sidang media hari ini.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menjelaskan, antara sektor yang wajar diberi perhatian ialah teknologi digital termasuk fintech, e-dagang dan kecerdasan buatan (AI) yang mampu membuka peluang perniagaan baharu kepada koperasi.
Pada masa sama, beliau melihat sektor pertanian dan keterjaminan makanan sebagai antara bidang strategik yang boleh diterokai gerakan koperasi berikutan kebergantungan negara terhadap import makanan yang masih tinggi.
Katanya, Malaysia mengimport pelbagai produk makanan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan makanan ternakan bernilai kira-kira RM90 bilion setahun, sedangkan sebahagian besar keperluan itu berpotensi dihasilkan dalam negara.
“Ini bukan sahaja membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, malah membuka peluang kepada koperasi mengembangkan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan penglibatan ahli dalam aktiviti seperti pemprosesan dan pengeluaran makanan,” katanya.
Beliau turut menyeru ahli lembaga koperasi supaya lebih berani membuat keputusan dan meneroka bidang perniagaan baharu agar koperasi tidak terlalu bergantung kepada satu model perniagaan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperluaskan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara serta meningkatkan peranannya dalam ekonomi nasional.
Terdahulu Datuk Seri Abdul Fattah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 dan seterusnya melancarkan Portal Koperasi KOBESI Malaysia Berhad.