
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Isu inflasi perubatan boleh ditangani secara menyeluruh dengan kerjasama kerajaan, pengawal selia, penyedia perkhidmatan kesihatan swasta serta industri insurans dan takaful.
- Pendekatan menyeluruh perlu untuk tangani inflasi perubatan dan isu kemampuan mendapat perlindungan serta rawatan.
- Strategi RESET disokong bagi penyelesaian jangka panjang memastikan produk MHIT relevan, mampan dan mampu diakses.
- Pelaksanaan memerlukan kerjasama lintas sektor dan pengawal selia untuk langkah bersepadu mengekang kenaikan kos rawatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd Radzuan Mohamed berkata, pendekatan bersifat menyeluruh diperlukan kerana isu itu melibatkan keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara.
Menurutnya, isu berkaitan kenaikan kos rawatan itu bukan hanya memberi kesan kepada industri, malah turut melibatkan kemampuan rakyat mendapatkan perlindungan kesihatan dan rawatan perubatan.
“Isu utama di sini ialah bagaimana kita menyelesaikan masalah kemampuan, sama ada kemampuan untuk mendapatkan perlindungan takaful atau insurans, serta kemampuan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Ini merupakan isu nasional, jadi pendekatannya perlu bersifat whole-of-nation. Ia tidak boleh hanya melibatkan industri takaful, tetapi perlu turut melibatkan hospital swasta, Kementerian Kesihatan dan pihak berkaitan untuk bekerjasama,” katanya dalam sidang media selepas Pengumuman Prestasi Industri Takaful 2025.
Tambahnya, pihaknya percaya mengenai pelaksanaan strategi RESET, yang memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu inflasi perubatan dan kemampanan perlindungan kesihatan.
Strategi yang digerakkan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, pengawal selia kewangan serta pemain industri itu, mampu menangani isu inflasi perubatan secara lebih menyeluruh.
Inisiatif tersebut antara lain bertujuan memastikan produk Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan, Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), kekal relevan, mampan dan mampu diakses rakyat.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan industri takaful Malaysia mencatat pertumbuhan 4.73 peratus pada 2025, dengan jumlah sumbangan kasar sebanyak RM16.38 bilion.
Jumlah bayaran manfaat yang dilunaskan pengendali takaful kepada pemegang sijil pula mencecah RM10.61 bilion pada 2025.
Segmen Takaful Keluarga kekal sebagai penyumbang utama bayaran manfaat, dengan jumlah RM7.91 bilion, manakala Takaful Am merekodkan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion.