Peneroka Israel serang diplomat Eropah, pukul datuk bandar Perancis

Foto AFP

BAITULMUQADDIS, 18 Oktober – Sekumpulan Peneroka haram Israel menyerang konvoi diplomat Eropah dan memukul seorang datuk bandar Perancis menggunakan batang besi ketika beliau menyertai aktiviti menuai zaitun bersama petani Palestin di Tebing Barat, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk bandar Bernard Baudoux berkata beliau ditendang dan dipukul peneroka bertopeng, dihina secara lisan, tetapi tidak memerlukan rawatan hospital.
  • Paderi Bashar Fawadleh: peneroka menyerang petani Palestin, merampas hasil zaitun; seorang mangsa perlukan jahitan, seorang wanita tua turut dipukul.
  • Kementerian Luar Israel mengutuk serangan; polis Israel berjanji membuka siasatan.
  • Netanyahu berkata diplomat patut selaraskan pergerakan; Gadi Eisenkot kecam, Belgium gesa tamatkan kekebalan peneroka keganasan.

Datuk Bandar berkenaan, Aulnoye-Aymeries, Bernard Baudoux, 78, berkata beliau ditendang dan dipukul sekumpulan peneroka bertopeng yang turut mengeluarkan kata-kata kesat menghina Perancis.

Baudoux menyertai aktiviti itu di bandar Taybeh bersama wakil kanan Perancis dan Belgium di Baitulmaqdis serta diplomat Poland sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Beliau yang memakai selempang berwarna bendera Perancis dilihat terbaring di tepi sebuah kereta selepas serangan itu, namun tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Saya fikir jika peneroka bertindak sedemikian, ini menunjukkan kerajaan Israel bertolak ansur dengan perbuatan mereka,” katanya kepada AFP.

Paderi di Taybeh, Bashar Fawadleh, berkata peneroka turut menyerang petani Palestin dan merampas hasil tuaian zaitun sebelum memukul Baudoux.

“Seorang mangsa dipukul di kepala sehingga memerlukan jahitan. Mereka turut memukul seorang wanita berusia lingkungan 70-an selepas menghinanya dengan kata-kata yang sangat kesat,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel mengutuk serangan terhadap diplomat berkenaan, manakala polis Israel berjanji membuka siasatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa terdapat kempen untuk memburukkan peneroka dan berkata diplomat terbabit sepatutnya menyelaraskan pergerakan mereka dengan tentera Israel.

Pencabarnya dalam pilihan raya 27 Oktober, bekas ketua tentera Gadi Eisenkot, mengkritik Netanyahu berhubung keganasan itu dan menyifatkannya sebagai “keganasan Yahudi, di bawah naungan kerajaan Israel”.

Belgium turut menggesa supaya kekebalan terhadap peneroka yang melakukan keganasan ditamatkan.

Serangan itu berlaku ketika musim menuai zaitun rakyat Palestin, yang berdepan peningkatan gangguan dan keganasan oleh peneroka Israel sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.