
KUALA LUMPUR, 10 Jun- Kelulusan pelaburan bernilai RM92.8 bilion pada suku pertama tahun ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai hab strategik bagi sektor berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
- Malaysia semakin menjadi sebahagian penting rantaian bekalan serantau bagi sektor berkemahiran tinggi, automasi dan teknologi canggih.
- Aliran pelaburan disokong oleh kestabilan ekonomi negara dan usaha berterusan kerajaan memperkukuh ekosistem pelaburan.
- Perlu pelaksanaan projek cepat, fokus pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan.
- Manfaat pelaburan lebih meluas jika PKS diserap dalam rantaian bekalan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan pendapatan.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata perkembangan itu menunjukkan Malaysia semakin dilihat sebagai sebahagian penting rantaian bekalan serantau khususnya dalam sektor berkemahiran tinggi, automasi dan teknologi canggih.
Menurut beliau, aliran pelaburan tersebut turut disokong oleh kestabilan ekonomi negara serta usaha berterusan kerajaan memperkukuh ekosistem pelaburan.
“Saya melihat kelulusan pelaburan ini sebagai langkah awal. Lebih penting ialah memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan memberi kesan kepada ekonomi tempatan.
“Oleh itu, kerajaan perlu terus memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta menggalakkan pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata manfaat pelaburan akan lebih meluas sekiranya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat diserap dalam rantaian bekalan industri baharu.
“Dengan tenaga kerja lebih berkemahiran dan akses kepada teknologi serta pasaran baharu, impaknya termasuk peningkatan pendapatan dan kualiti hidup,” katanya.
Ahmed Razman berkata perkembangan suku pertama itu menunjukkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan produktiviti.
“Pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan pendapatan yang lebih baik,” katanya..
Isnin lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan memaklumkan Malaysia meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion bagi suku pertama 2026 dengan Jepun muncul sebagai pelabur asing terbesar manakala pelaburan domestik mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun paling kukuh dalam tempoh sama.
MIDA menjelaskan pelaburan tersebut melibatkan 1,249 projek merentas sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama.