
KUALA LUMPUR, 10 Jun- Kementerian Kewangan (MOF) menerajui kementerian dan agensi berkaitan dalam mengguna pakai pendekatan usaha sama seluruh kerajaan bagi membanteras aktiviti perniagaan, penawaran perkhidmatan dan lambakan barangan import yang tidak sah.
- Menjamin persaingan adil dan saksama untuk syarikat serta industri tempatan.
- Memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia.
- Memastikan produk import memenuhi piawaian ditetapkan, terutamanya elektrik, makanan dan bahan binaan.
- Kebimbangan terhadap warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat atau pelajar untuk menjalankan perniagaan, menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini memaklumkan pendekatan itu memastikan persaingan yang adil dan saksama untuk syarikat dan industri tempatan.
Jelasnya, beliau bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican telah mengadakan sesi perbincangan dengan wakil industri serta kementerian dan agensi berkaitan.
Usaha itu susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tindakan lebih bersepadu dan tegas diambil bagi menangani isu berkenaan.
“(Ia) bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan tempatan yang adil, selamat dan berdaya saing dengan tiga objektif utama. Pertama, memastikan persaingan yang adil dan saksama kepada syarikat serta industri tempatan.
“Seterusnya adalah menjamin semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia. Ketiga, memastikan semua produk import mematuhi piawaian ditetapkan khususnya barangan elektrik, makanan dan bahan binaan,” katanya.
Pada 8 Jun, Perdana Menteri menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan di Malaysia.
Beliau berkata kerajaan menyedari ancaman diwujudkan segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat atau pelancong tetapi menjalankan aktiviti perniagaan termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Perdana Menteri, amalan sedemikian boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.