
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Industri penjagaan kesihatan Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh dalam beberapa tahun akan datang, didorong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti, pertambahan populasi warga emas, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta perkembangan sektor pelancongan perubatan.
- Perlu perhatian terhadap kemampuan rakyat mendapatkan rawatan dan ubat untuk menjamin kemampanan sektor penjagaan kesihatan.
- Kapasiti katil hospital swasta dijangka berkembang 4 hingga 5 peratus setahun; tempoh menunggu panjang di awam beri peluang kepada swasta.
- Pembaharuan dasar seperti DRG, MyPriMe, Pelan Perubatan Asas Baharu dan Rakan KKM serta peralihan ke penjagaan pencegahan akan memperkukuh ekosistem.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pembrokeran Hong Leong Investment Bank, Allen Tan Jee Khien berkata, perkembangan itu meletakkan sektor penjagaan kesihatan sebagai antara industri yang berpotensi tinggi, namun aspek kemampuan rakyat mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan perlu terus diberi perhatian bagi menjamin kemampanan sektor berkenaan.
Menurut beliau, kapasiti katil hospital swasta di negara ini dijangka berkembang antara empat hingga lima peratus setahun, sejajar peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.
“Tempoh menunggu yang panjang di fasiliti kesihatan awam secara tidak langsung mewujudkan peluang kepada penyedia perkhidmatan kesihatan swasta. Dalam masa sama, pertumbuhan populasi menua, peningkatan penyakit tidak berjangkit dan perkembangan pelancongan perubatan dijangka terus merancakkan sektor ini,” katanya ketika berucap pada Siri Fokus Stratum Bursa-HLIB Ke-21: Hala Tuju Industri Penjagaan Kesihatan Malaysia, di sini, hari ini.
Allen berkata, perubahan struktur demografi, peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan serta permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan swasta membuka ruang pertumbuhan baharu kepada pemain industri.
Pada masa sama, katanya, pelaksanaan beberapa pembaharuan dasar termasuk sistem Diagnostic-Related Group (DRG), MyPriMe, Pelan Perubatan Asas Baharu, Rakan KKM serta peralihan kepada pendekatan penjagaan pencegahan dijangka memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan sistem kesihatan, malah menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih mampan, telus dan berasaskan nilai kepada rakyat.
Forum berkenaan menghimpunkan wakil industri, pengendali hospital swasta, syarikat farmaseutikal dan pakar dasar bagi membincangkan hala tuju, trend semasa serta peluang pertumbuhan industri penjagaan kesihatan Malaysia.