SSR hasil laut 90 peratus, import spesies tertentu masih diperlukan

Foto LKIM

PUCHONG, 10 November – Malaysia masih memerlukan bekalan ikan import bagi memenuhi permintaan terhadap spesies tertentu meskipun Kadar Sara Diri (SSR) keseluruhan hasil laut negara kini mencapai 90 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Walaupun SSR keseluruhan hasil laut berada sekitar 90 peratus, import spesies tertentu diteruskan apabila permintaan tempatan melebihi bekalan.
  • Pengeluaran ikan siakap melebihi 100 peratus SSR, membolehkan lebihan dieksport ke negara jiran termasuk Thailand.
  • Sektor perikanan masih berdepan ketidaktentuan cuaca, sumber marin yang semakin terhad dan tekanan pembangunan pesisir pantai.
  • LKIM memperkasakan akuakultur melalui Satu Persatuan Satu Produk, sokongan perniagaan hiliran dan aplikasi MyMinyak untuk subsidi bahan api.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara spesies berpermintaan tinggi yang masih mengalami kekurangan pengeluaran tempatan ialah ikan kembung.

Menurut beliau, kebergantungan kepada import bagi menampung keperluan pengguna itu dikawal selia menerusi sistem pelesenan bagi membantu mengekalkan kestabilan bekalan pasaran.

“Namun, sekiranya permintaan terhadap sesuatu spesies ikan itu tinggi, bekalan tempatan sememangnya tidak mencukupi dan kita perlu mengimportnya.

“Sebagai contoh, ikan makarel dan ikan kembung merupakan antara spesies ikan yang kita import. Walau bagaimanapun, kita telah mengeluarkan lesen import dan sentiasa memantau spesies ikan yang diimport bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun Ke-55 LKIM di Dewan Besar LKIM, Pulau Meranti, di sini.

Muhammad Faiz berkata, pengeluaran spesies tertentu seperti ikan siakap telah melebihi 100 peratus kadar sara diri, sekali gus membolehkan lebihan bekalan dieksport ke negara jiran termasuk Thailand.

Bagaimanapun, sektor perikanan negara masih berdepan cabaran ketidaktentuan cuaca, sumber marin yang semakin terhad serta tekanan pembangunan di kawasan pesisir pantai.

Sehubungan itu, LKIM turut memperkasakan sektor akuakultur menerusi agenda Satu Persatuan Satu Produk yang melibatkan 20 Persatuan Nelayan dengan sokongan modal dan latihan kepakaran.

Pada masa sama, pembangunan perniagaan hiliran turut diberi perhatian bagi meningkatkan pendapatan nelayan, termasuk pemprosesan ikan bilis, ikan kering, belacan dan keropok serta aktiviti perniagaan runcit.

Dalam perkembangan lain, LKIM menerima Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 menerusi inovasi aplikasi MyMinyak bagi meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi diesel dan petrol nelayan.

Aplikasi itu menggunakan sistem perekodan dan pengesahan secara masa nyata bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada nelayan berdaftar yang layak, selain membantu mengurangkan risiko ketirisan dana awam.

“Pengiktirafan Anugerah Platinum RKB 2026 menerusi inisiatif MyMinyak membuktikan komitmen warga LKIM dalam mereformasikan sistem penyampaian kepada rakyat.

“Kita tidak lagi meletakkan pendigitalan sekadar pilihan sampingan, sebaliknya menjadi teras operasi harian agensi bagi menjamin ketelusan pengurusan, memelihara kebajikan nelayan, dan mempertahankan integriti amanah Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Bagi membantu nelayan warga emas menggunakan aplikasi berkenaan, LKIM turut mengadakan sesi libat urus, bimbingan dan latihan dengan kerjasama Persatuan Nelayan di setiap kawasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.