
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Komuniti perniagaan Kesatuan Eropah (EU) berharap Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang sedang dirunding dapat dimuktamadkan sebagai perjanjian berkualiti tinggi bagi merangsang pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuh kerjasama ekonomi jangka panjang antara kedua-dua pihak.
- Syarikat Eropah melihat potensi besar Malaysia dalam transformasi industri, pendigitalan dan peralihan tenaga untuk aktiviti bernilai tinggi.
- Perjanjian perdagangan perlu berkualiti tinggi merangkumi pengurangan tarif, penyelarasan peraturan, prosedur kastam dipermudah dan persekitaran pelaburan kukuh.
- Delegasi mencadangkan peningkatan kepastian dasar, kemudahan perdagangan digital, sokongan selepas pelaburan serta penyelarasan lebih berkesan antara agensi kerajaan.
- Perkukuhan pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran tenaga kerja penting untuk memastikan daya saing dan menarik pelaburan teknologi tinggi.
Perkara itu disuarakan dalam pertemuan antara kira-kira 30 wakil firma Eropah dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sempena lawatan tiga hari delegasi perniagaan EU ke Kuala Lumpur.
Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC), Chris Humphrey berkata syarikat-syarikat Eropah melihat potensi besar Malaysia sebagai destinasi pelaburan, khususnya dalam sektor transformasi industri, pendigitalan dan peralihan tenaga.
Beliau berkata, firma-firma terbabit berharap momentum rundingan MEUFTA dapat dikekalkan bagi membolehkan perjanjian itu dimuktamadkan menjelang 2027.
”Firma EU melihat peluang besar untuk mengembangkan aktiviti bernilai tinggi, khususnya dalam bidang transformasi industri, pendigitalan dan peralihan tenaga.
”FTA yang berkualiti tinggi bukan sahaja perlu merangkumi pengurangan tarif, malah membantu mengurangkan halangan kawal selia, menyediakan peraturan yang lebih jelas, memperkemas prosedur kastam serta mengukuhkan persekitaran pelaburan,” katanya.

Menurut Humphrey, langkah itu akan mewujudkan persekitaran perdagangan yang lebih telus, boleh diramal dan mesra pelabur, sekali gus meningkatkan keyakinan syarikat asing untuk terus melabur di Malaysia.
Beliau berkata, bagi memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan, delegasi perniagaan EU turut mencadangkan penambahbaikan melibatkan kepastian dasar, kemudahan perdagangan digital, sokongan selepas pelaburan serta penyelarasan yang lebih berkesan antara agensi kerajaan.
Katanya, penambahbaikan tersebut penting bagi menggalakkan pelaburan semula dan pengembangan operasi syarikat sedia ada di Malaysia.
Selain itu, beliau berkata pembangunan bakat serta peningkatan kemahiran tenaga kerja perlu terus diperkukuh bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi.
Mengulas prospek pelaburan, Humphrey berkata Tinjauan Sentimen Perniagaan EU-ABC 2025 menunjukkan 57 peratus syarikat yang mengambil bahagian merancang untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia.
EU kini merupakan antara lima rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai dagangan dua hala mencecah €48.9 bilion pada 2025, manakala jumlah keseluruhan pelaburan Eropah di negara ini bernilai €33.1 bilion pada 2024.