
- Unjuran mencerminkan asas ekonomi kukuh walaupun ketidaktentuan geopolitik, gangguan perdagangan dan pertumbuhan global tidak sekata.
- Peningkatan pasaran disokong oleh unjuran pendapatan lebih tinggi dan asas ekonomi yang kukuh, bukan semata-mata sentimen pelabur.
- Pasaran boleh meningkat lagi jika premium risiko global berkurang dan penyertaan pelabur asing bertambah.
- Strategi pelaburan perlu selektif; fokus sektor pengguna pilihan, perbankan stabil, dan infrastruktur berpotensi manfaat projek pembangunan negara.
KUALA LUMPUR, 24 April – Bursa Malaysia dijangka terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan penanda aras utama, FBM KLCI, diunjur mampu melonjak sehingga ke paras 1,820 mata menjelang akhir 2026.
Menurut laporan Malaysia 2026 Outlook Quarterly Forecast Update oleh IPPFA Sdn Bhd, unjuran itu mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang terus stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan perdagangan dan pertumbuhan global yang tidak sekata.
“Paras 1,820 mata itu turut mengambil kira unjuran pendapatan yang lebih tinggi bagi 2026, sekali gus menunjukkan peningkatan tersebut didorong oleh asas ekonomi yang kukuh, bukannya sentimen pelabur semata-mata,” katanya dalam satu nota penyelidikkan.
Menurut syarikat perancangan kewangan itu, pasaran juga berpotensi meningkat ke julat 1,820 hingga 1,880 sekiranya premium risiko global berkurang dan penyertaan pelabur asing bertambah.
Dalam pada itu, IPPFA berpendapat, dari strategi pelaburan, fokus perlu diberi kepada pendekatan selektif dengan memilih sektor yang mendapat manfaat daripada permintaan dalam negara dan mempunyai aliran pendapatan yang jelas.
“Antara sektor yang menjadi pilihan termasuk sektor barangan pengguna pilihan disokong oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 serta peningkatan pendapatan susulan pelaksanaan Pelarasan gaji SSPA Fasa 2,” katanya.
Selain itu, sektor perbankan juga dijangka terus mencatat prestasi stabil melalui pertumbuhan pinjaman yang berdisiplin, manakala sektor berkaitan infrastruktur dan pelaburan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 pula berpotensi meraih manfaat daripada pelaksanaan projek pembangunan negara.