
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Bekalan bahan api di rangkaian stesen minyak Petronas seluruh negara dijangka stabil dan mencukupi sehingga Ogos.
- Jaminan berdasarkan jawapan rasmi Petronas yang dilaporkan dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
- Rangkaian itu membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api domestik melalui Petronas Dagangan Berhad.
- Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah MTEN ditubuhkan untuk memastikan kecukupan bekalan bahan api negara.
- PPPK memantau bekalan, mengawal harga, mencegah penyeludupan serta usaha dapatkan minyak mentah dari Afrika Barat dan Amerika sedang dijalankan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan jaminan itu berdasarkan jawapan rasmi daripada Petronas, yang dilaporkan dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
”Rangkaian itu merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api domestik negara yang dibekalkan oleh Petronas melalui anak syarikat senaraian awamnya, Petronas Dagangan Berhad.
”Justeru, untuk memastikan keperluan bahan api negara mencukupi dan selaras dengan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, satu Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah MTEN telah ditubuhkan,”katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung kenyataan Petronas bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya adalah terjamin hanya sehingga akhir Jun 2026 dan pelan kontingensi kerajaan sekiranya krisis tenaga global berlanjutan.
Tambah beliau, pasukan tersebut sentiasa memantau situasi bekalan bahan api, bahan bakar dan tenaga negara serta memastikan keterjaminan bekalan di bulan-bulan akan datang serta turut mengawal harga, mencegah kegiatan penyeludupan serta penyelewengan.
Pada masa sama, usaha untuk memperoleh bekalan minyak mentah daripada pengeksport luar Asia Barat turut dijalankan termasuk dari Afrika Barat dan Benua Amerika, tertakluk kepada kesesuaian gred minyak mentah dan terma komersial berkaitan.