ASEAN fokus tiga teras strategik, perkukuh daya tahan serantau

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 15 April – ASEAN perlu memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu rantaian bekalan, keselamatan tenaga dan keselamatan makanan bagi memperkukuh daya tahan serantau berdepan ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beralih daripada persaingan kepada kerjasama erat untuk memperkukuh rantaian bekalan, kestabilan tenaga dan keselamatan makanan serantau.
  • Salur sumber dan laksanakan pelaburan segera bagi membina semula pasca krisis dengan asas yang lebih kukuh.
  • Mempercepat pembangunan rangkaian tenaga serantau termasuk pelaksanaan ASEAN Power Grid untuk memperkukuh daya tahan bekalan tenaga.
  • Rangka pendekatan jangka panjang fokus bukan hanya pengurusan krisis malah pembinaan ekonomi lebih berdaya tahan terhadap gangguan luaran.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, ketiga-tiga elemen itu menjadi asas penting dalam memastikan negara anggota lebih bersedia menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan.

Jelasnya, ASEAN perlu beralih daripada pendekatan persaingan kepada kerjasama lebih erat, khususnya dalam memperkukuh rantaian bekalan, menjamin kestabilan tenaga serta memastikan bekalan makanan yang mencukupi di peringkat serantau.

“Jadi, disinilah kita perlu mula menyalurkan sumber, dan tindak balas kita terhadap krisis dan menumpukan ke arah membina semula dengan lebih baik.

“Perkara ini turut terpakai kepada ASEAN. Kita perlu bersama-sama menentukan hala tuju yang ingin dibina pascakrisis serta mengenal pasti pelaburan yang perlu dilaksanakan dari sekarang bagi merealisasikan masa depan tersebut,” katanya selepas sesi Syarahan Asia Tenggara 2026: ASEAN dan Susunan Dunia Baharu.

Dalam konteks keselamatan tenaga, beliau menekankan kepentingan mempercepatkan pembangunan rangkaian tenaga serantau termasuk pelaksanaan ASEAN Power Grid bagi memperkukuh daya tahan bekalan tenaga antara negara anggota.

Selain itu, usaha memperkukuh kerjasama serantau dilihat penting bagi memastikan ASEAN tidak mudah terdedah kepada gangguan luaran, khususnya dalam situasi ketidaktentuan harga komoditi dan konflik geopolitik global.

Beliau turut menegaskan bahawa rantau ini perlu bersedia menghadapi krisis yang berkemungkinan berpanjangan, walaupun konflik semasa berpotensi berakhir dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, ASEAN disaran merangka pendekatan jangka panjang yang bukan sahaja menumpukan kepada pengurusan krisis, tetapi juga membina semula ekonomi yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi cabaran masa depan.