Akses tenaga boleh baharu kini kriteria utama pelaburan asing

Naib Presiden Jualan, Aset dan Pemasaran Global Kumpulan Solarvest, Tan Qi Jie / RTM

KUALA LUMPUR, 15 April – Syarikat global yang melabur di Malaysia kini meletakkan akses kepada bekalan tenaga boleh baharu (TBB) sebagai antara keperluan utama dalam membuat keputusan pelaburan, selaras dengan komitmen kelestarian di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan tenaga boleh baharu kini menjadi hala tuju strategik syarikat asing, bukan hanya dasar kerajaan.
  • Perlu menyelaraskan dasar negara dengan keperluan syarikat melalui gabungan kedua-duanya.
  • Malaysia berpotensi menjadi hab tenaga boleh baharu utama di Asia dengan perkembangan ketara kini.
  • Konsortium TNB Renewables, Solarvest dan Savelite siapkan loji PV CGPP melalui SKE dan SPE, pelaburan kira-kira RM300 juta.

Naib Presiden Jualan, Aset dan Pemasaran Global Kumpulan Solarvest, Tan Qi Jie berkata, trend itu menunjukkan bahawa peralihan tenaga bukan lagi sekadar dasar kerajaan, sebaliknya telah menjadi hala tuju strategik bagi syarikat asing yang beroperasi di negara ini.

“Peralihan kepada tenaga boleh baharu, bukan sekadar dasar yang melibatkan sesebuah kerajaan kerana syarikat besar yang datang ke Malaysia turut mencari akses kepada sumber ini kerana ia merupakan hala tuju global mereka.

“Kita perlu menyelaraskan dasar negara dengan keperluan syarikat-syarikat ini dan melalui gabungan kedua-duanya.

“Malaysia berpotensi menjadi antara hab tenaga boleh baharu yang berjaya di rantau Asia, dengan perkembangan ketara yang dapat dilihat ketika ini,” katanya selepas Majlis Penyiapan Projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), pada Selasa.

Projek tersebut melibatkan kerjasama strategik antara Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn Bhd (TRe), bersama Solarvest Holdings Bhd dan Savelite Engineering Sdn Bhd.

Konsortium itu berjaya menyiapkan loji fotovoltan (PV) solar di bawah kerangka CGPP menerusi dua syarikat bertujuan khas, Setia Kawan Energy Sdn Bhd (SKE) dan Selarong Pertama Energy Sdn Bhd (SPE).

Mengulas lanjut, Tan menjelaskan bahawa kedua-dua projek tersebut melibatkan gabungan pelaburan berjumlah kira-kira RM300 juta, sekali gus mencatatkan rekod sebagai projek CGPP terbesar yang telah siap di Malaysia setakat ini.