
KUALA LUMPUR, 24 November – Sebanyak 186,318 unit rumah baharu yang dilancarkan pemaju hartanah di Malaysia di seluruh negara sejak 2020 masih belum terjual dengan nilai keseluruhan dianggarkan antara RM105.3 bilion hingga RM230 bilion.
- Kira-kira 70 peratus rumah tidak terjual datang daripada projek yang dilancarkan pada 2025 dan separuh pertama 2026.
- Kadar kelulusan pinjaman perumahan merosot kepada 39.1 peratus, paras terendah sejak 2021.
- Rumah berharga RM750,000 hingga RM999,000 mencatat kadar tidak terjual tertinggi, sementara bekalan baharu terus memasuki pasaran.
Menurut data yang dikeluarkan oleh PropLaunch, sebahagian besar inventori rumah tidak terjual itu melibatkan projek yang dilancarkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Projek yang dilancarkan pada 2025 menyumbang 78,666 unit, manakala 52,345 unit lagi melibatkan pembangunan pada separuh pertama 2026.
“Secara keseluruhan, kedua-dua tempoh itu merangkumi kira-kira 70 peratus daripada jumlah rumah tidak terjual,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah platform teknologi hartanah itu, keadaan tersebut dipengaruhi oleh penurunan kadar kelulusan pinjaman perumahan, meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang tahun ini.
Jelas PropLaunch, data BNM menunjukkan kadar kelulusan pinjaman perumahan berdasarkan nilai merosot
kepada 39.1 peratus pada separuh pertama 2026, iaitu paras terendah sejak 2021.
Dalam tempoh sama, nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM231.03 bilion, namun nilai pinjaman yang diluluskan menyusut 1.2 peratus kepada RM90.35 bilion.
“Pembangunan dengan harga permulaan antara RM750,000 hingga RM999,000 merekodkan kadar tidak terjual tertinggi, iaitu 67.4 peratus, manakala projek berharga di bawah RM300,000 mencatatkan kadar terendah sebanyak 48.2 peratus,” jelasnya.
PropLaunch turut menganggarkan, berdasarkan kadar jualan semasa, sebanyak 39 bulan diperlukan untuk menghabiskan baki 186,318 unit rumah tidak terjual, dengan andaian tiada bekalan baharu memasuki pasaran.
Bagaimanapun, bekalan baharu terus memasuki pasaran apabila 298 projek membabitkan 57,108 unit kediaman dilancarkan antara Julai hingga Oktober 2026.