FBM KLCI dijangka berlegar antara 1,540 hingga 1,560 mata

Foto BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 24 November – Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus berlegar dalam julat 1,540 hingga 1,560 mata, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belian terpilih ketika harga rendah membantu indeks pulih, namun aliran keluar dana asing mencerminkan sentimen pelabur yang masih berhati-hati.
  • Dana asing berpotensi beralih kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia susulan penurunan hasil bon kerajaan 10 tahun.
  • Saham berkaitan YTL dijangka kembali mendapat perhatian, manakala sektor teknologi menjadi satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan.

Rakuten Trade berkata, unjuran itu mengambil kira prestasi pasaran tempatan yang kekal lemah selepas ia ditutup rendah pada 0.48 peratus atau 7.46 mata kepada 1,549.05 mata, semalam.

“Aktiviti pembelian terpilih ketika harga rendah berjaya membantu indeks penanda aras berkenaan kembali menghampiri paras 1,550 mata selepas bergerak rendah pada awal dagangan.

“Bagaimanapun, aliran keluar bersih dana asing yang berterusan dalam beberapa sesi dagangan lalu mencerminkan sentimen pelabur yang masih berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Rakuten Trade turut berpandangan dana asing berpotensi beralih kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), susulan penurunan hasil bon kerajaan 10 tahun kepada sekitar 3.8 peratus ketika ini, berbanding 4.0 peratus pada bulan lalu.

Dalam pada itu, firma pembrokeran berkenaan menjangkakan saham berkaitan YTL kembali mendapat perhatian pelabur, disokong perkembangan positif membabitkan Nvidia.

Dari segi prestasi sektor, kebanyakannya mencatatkan penurunan, dengan sektor hartanah merekodkan kemerosotan paling ketara sebanyak 2.70 peratus.

Ia diikuti sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) yang susut 2.42 peratus, manakala sektor pembinaan merosot 2.32 peratus.

Sebaliknya, sektor teknologi menjadi satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan, iaitu sebanyak 0.19 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.