12 tuntutan insurans waris mangsa bencana Nepal selesai – PIAM


Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon

KUALA LUMPUR, 6 November – Sebanyak 12 tuntutan insurans membabitkan rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir besar di Nepal berjaya diselesaikan sepenuhnya setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PIAM mengenal pasti lebih 50 polisi insurans berkaitan mangsa berdasarkan rekod awal.
  • PIAM bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia untuk menghubungi waris dan mempercepatkan proses tuntutan syarikat insurans.
  • Perlindungan termasuk insurans perjalanan, insurans kemalangan diri tahunan dan insurans kemalangan diri berkumpulan oleh majikan.
  • PIAM akan terus menyokong waris mangsa, membantu pendaftaran dan pemberitahuan tuntutan insurans.

Lebih banyak tuntutan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, pihaknya mengenal pasti lebih 50 polisi insurans yang mempunyai kaitan dengan mangsa bencana berkenaan berdasarkan rekod awal.

Menurutnya, PIAM bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menghubungi waris mangsa serta membantu mempercepatkan proses tuntutan oleh syarikat insurans anggota persatuan itu.

“Lebih 50 polisi insurans dikenal pasti mempunyai kaitan dengan bencana di Nepal itu. Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 polisi telah diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat insurans anggota kami dan kami menjangkakan lebih banyak tuntutan akan diselesaikan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan bersama media di Wisma PIAM, pada Jumaat.

Chua menjelaskan, jumlah lebih 50 polisi berkenaan tidak semestinya menggambarkan bilangan individu yang terjejas kerana seseorang mungkin mempunyai lebih daripada satu perlindungan insurans.

“Pertama ialah insurans perjalanan, iaitu bagi mereka yang telah mengambil perlindungan insurans perjalanan dan pergi ke Nepal sama ada untuk tujuan ziarah atau percutian, mereka turut dilindungi.

“Kedua ialah mereka yang mempunyai perlindungan insurans kemalangan diri tahunan, yang turut menerima perlindungan daripada bencana seperti ini. Selain itu, terdapat juga perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan yang disediakan oleh syarikat atau majikan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, PIAM akan terus memberikan sokongan kepada waris mangsa, termasuk membantu urusan pendaftaran dan pemberitahuan tuntutan insurans.s.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.