
KUALA LUMPUR, 6 November – Kejayaan Involve Asia merekodkan hasil eksport melebihi RM100 juta dan Respond.io memperoleh pembiayaan Siri B sebanyak US$62.5 juta pada 2025 melayakkan kedua-dua syarikat teknologi tempatan itu menerima pengiktirafan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
- MDEC mengiktiraf Involve Asia sebagai Digital Exporter of the Year dan Respond.io sebagai Fundraising of the Year serta pemenang MTEP Flagship Award.
- Ganesh menegaskan Malaysia memerlukan lebih banyak kerjasama untuk membolehkan syarikat teknologi menjana pendapatan kukuh dan bersaing di pasaran antarabangsa.
- Beliau menggesa pengasas memanfaatkan ejen AI untuk mengoptimumkan proses, kurangkan kos dan tingkatkan produktiviti sambil mengekalkan pertimbangan manusia.
Involve Asia mencatat hasil eksport tertinggi dalam kalangan syarikat peserta program DEX Connex kendalian MDEC pada 2025, manakala Respond.io bukan sahaja berjaya memperoleh pembiayaan US$62.5 juta, malah merekodkan hasil perniagaan melebihi RM70 juta pada tahun sama.
Pencapaian itu menyaksikan Involve Asia menerima anugerah Digital Exporter of the Year, manakala Respond.io meraih pengiktirafan Fundraising of the Year serta Malaysia Tech Entrepreneur Programme (MTEP) Flagship Award pada majlis Elevate & Engage 2026.
Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak kerjasama bagi membantu syarikat teknologi tempatan berkembang menjadi perniagaan yang mempunyai pelanggan sebenar, menjana pendapatan kukuh serta mampu bertahan di pasaran antarabangsa.
Program DEX Connex menghubungkan syarikat teknologi Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa bagi menyokong usaha mereka memasuki pasaran luar negara.
Menurut Ganesh, kejayaan memperoleh pembiayaan besar seperti Siri B perlu disusuli keupayaan operasi, tenaga kerja dan disiplin komersial yang kukuh bagi memastikan modal berkenaan dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan.
“Pembiayaan Siri B boleh mempercepat pertumbuhan sesebuah syarikat, namun modal semata-mata tidak menjamin sesebuah syarikat berkembang menjadi perniagaan berskala besar.
“Syarikat itu perlu terlebih dahulu membangunkan sistem, tenaga kerja dan disiplin komersial yang mantap untuk memanfaatkan modal berkenaan,” katanya.
Beliau turut menggesa pengasas syarikat supaya memanfaatkan ejen kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan proses kerja, mengurangkan kos perisian dan mengendalikan tugasan rutin, namun menegaskan pertimbangan manusia kekal penting dalam menetapkan objektif serta mengendalikan situasi luar jangka.
Katanya, penjimatan masa hasil penggunaan teknologi perlu diterjemahkan kepada hasil perniagaan seperti perkhidmatan lebih pantas, kos operasi lebih rendah atau peningkatan kapasiti pelanggan tanpa menjejaskan kualiti.
Dalam perkembangan sama, GreatAsic Technology menerima Breakout Fundraising Award selepas memperoleh pembiayaan Pre-Siri A berjumlah US$6.9 juta, manakala TNG Digital diiktiraf sebagai syarikat berstatus unicorn pertama di bawah Founders Centre of Excellence (FOX) kendalian MDEC.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia menerima pengiktirafan atas kerjasama dalam pelaksanaan MTEP, dengan Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Datuk Aminudin Yahaya mewakili jabatan itu pada majlis berkenaan.