MATA AYER, 3 Oktober- Ziarah Kasih Ambil Peduli, satu pendekatan turun padang oleh wakil rakyat untuk menjengah kehidupan semasa serta permasalahan dihadapi penduduk di pelusuk kampung.
Program ini menjadi satu usaha berkala memantau keadaan semasa masyarakat khususnya mereka yang memerlukan selain beramah mesra mengeratkan hubungan.
(Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi dan Exco Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat Negeri yang juga ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya
ziarah penduduk yang memerlukan bantuan di sini)
Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri yang juga ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya, kerjasama bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) penting agar masalah dihadapi penduduk dapat diberi perhatian segera.
Ini disebabkan setiap Pengerusi dan Jawatankuasa JPKK disetiap kampung sentiasa bersama penduduk dan seharusnya mengetahui permasalahan setempat.
Beliau menyatakannya ketika ditemui media pada Program Ziarah Kasih Ambil Peduli sekitar kampung di Mata Ayer bersama JPKK dan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi.
Menerusi program ini, lima penduduk sekitar Mata Ayer disantuni terdiri mereka yang menghadapi masalah kesihatan antaranya sakit buah pinggang dan strok serta asnaf dengan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.