KANGAR, 30 Mac- Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs), terus komited menyalurkan pelbagai bantuan untuk golongan memerlukan khususnya di Perlis, setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Yayasan tersebut merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan meneruskan acara tahunan kali ke-5 menerusi Majlis Iftar Jamaie Yayasan Kebajikan Perlis bagi menyantuni 130 anak yatim, asnaf dan kurang upaya terpilih seluruh Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif YKPs, Affendi Rajini Khan memaklumkan, Majlis Iftar Jamaie ini bagi meraikan golongan tersebut supaya dapat bersama-sama merasai keindahan Ramadan dengan berbuka puasa di hotel, selain menerima sumbanga duit raya untuk sambutan Aidilfitri.
"Peluang berbuka puasa bersama-sama keluarga besar dan menerima duit raya hasil sumbangan pelbagai pihak ini pastinya memberikan keceriaan kepada penerima sempena Ramadan kali ini serta dalam persiapan menyambut Aidilfitri nanti", katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Jamaie Yayasan Kebajikan Perlis di Kangar.
Sehingga kini, Yayasan Kebajikan Perlis menjalinkan kerjasama strategik dengan lebih 15 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan yang dilaksanakan secara berkala seluruh Perlis.