
MANTIN, 25 Jun- Sebanyak 374 projek bina baharu dan baik pulih kediaman telah dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi Program Sinar Lestari dengan peruntukan RM17.02 juta sejak 2020 hingga Mei lalu.
- YAPEIM melalui Program Sinar Lestari membantu golongan memerlukan dengan menyediakan kediaman lebih selesa hasil sumbangan masyarakat.
- Pelaksanaan program diperluaskan ke Sabah dan Sarawak untuk memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
- Penerima menerima kediaman baharu dan Geran Usahawan, meningkatkan kualiti hidup serta merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata program itu merupakan usaha membantu golongan yang memerlukan menerusi penyediaan kediaman lebih selesa hasil sumbangan masyarakat yang disalurkan kepada Tabung Amanah YAPEIM.
Beliau berkata pelaksanaan Program Sinar Lestari akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
“Kita ingin meluaskan lagi program ini bukan hanya di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Dengan lebih banyak sumbangan daripada orang ramai, kita boleh meneruskan lagi program sebegini.
“Program ini benar-benar memberi impak kerana bukan sekadar bantuan sekali beri, tetapi kita memberikan satu kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kediaman Bina Baharu menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM di sini hari ini.
Menerusi majlis itu, penerima manfaat, Aini Abdul Hamid, 60, seorang tukang jahit sambilan menerima sebuah kediaman baharu bernilai RM80,000 selain Geran Usahawan bernilai RM5,000.
Suaminya, Alias Ismail menzahirkan kesyukuran selepas impian keluarga mereka untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai hasil usaha YAPEIM serta sumbangan orang ramai.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah membantu,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 2020 sehingga Mei lalu, YAPEIM telah melaksanakan 228 projek baik pulih dan 146 projek bina baharu kediaman di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 281 projek telah siap manakala 93 projek lagi masih dalam proses pembinaan.