
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Langkah penjimatan perbelanjaan yang dilaksanakan kerajaan bukan bertujuan menghentikan semua perbelanjaan atau perjalanan rasmi, sebaliknya dibuat secara bersasar bagi menampung peningkatan kos subsidi susulan krisis di Asia Barat.
- Kenaikan harga minyak dunia menambah beban subsidi; kerajaan mengehadkan lawatan rasmi luar negara kepada urusan penting dan manfaat strategik.
- Lawatan rasmi dinilai berdasarkan tujuan, keperluan dan manfaat negara, bukan semata-mata jumlah perjalanan.
- Langkah penjimatan tidak menjejaskan perkhidmatan penting; peruntukan kesihatan, pendidikan dan subsidi terus dipelihara.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, konflik di rantau itu telah menyebabkan harga minyak mentah dunia meningkat, sekali gus menambah beban subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup kepada rakyat.
Menurut MOF, bagi menampung sebahagian kos tambahan subsidi, kerajaan melaksanakan beberapa langkah penjimatan termasuk mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya untuk urusan penting, mesyuarat wajib dan program yang memberi manfaat strategik kepada negara.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laporan portal CodeBlue bertajuk Ministers, Officials Go Around the World on 50 Trips in 50 Days yang mempersoalkan lawatan rasmi ke luar negara ketika langkah penjimatan sedang dilaksanakan.
MOF menjelaskan terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan negara.
“Sebagai contoh, lawatan kerja Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini membantu memperkukuh usaha Malaysia mendapatkan bekalan tenaga yang lebih terjamin dan pelbagai.
Malah, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan dan kerjasama serantau juga penting untuk menjaga kepentingan negara, mengukuhkan hubungan dengan rakan strategik serta membuka peluang pelaburan dan ekonomi,” kata MOF.
Sehubungan itu, MOF menegaskan lawatan rasmi tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah perjalanan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan tujuan, keperluan dan manfaat yang diperoleh negara.
Pada masa sama, kementerian itu menegaskan langkah penjimatan yang dilaksanakan tidak menjejaskan perkhidmatan penting kepada rakyat, termasuk sektor kesihatan dan pendidikan.
Kerajaan MADANI kata MOF, akan terus komited mengurus kewangan negara secara berhemah dengan mengawal perbelanjaan yang tidak kritikal, manakala peruntukan untuk kesihatan, pendidikan, subsidi dan bantuan rakyat terus dipelihara.
Pendekatan itu bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara berkesan untuk menghadapi cabaran ekonomi global, di samping menjaga kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.