BEIJING, 20 September- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Great Hall of the People di sini, bersempena dengan Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke China selama empat hari bermula semalam.
Sultan Ibrahim disambut oleh Presiden China Xi Jinping.
Seri Paduka Baginda yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, mengadakan lawatan negara sulung ke republik itu hingga 22 Sept ini, atas jemputan Xi.
Pada istiadat sambutan negara itu, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Sultan Ibrahim yang diiringi Xi kemudian berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.
Seri Paduka Baginda turut disambut oleh kanak-kanak yang mengibarkan bendera negara China dan Malaysia, serta bunga.
Sejurus selepas itu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Xi di Dewan Timur, Great Hall of the People di Beijing, sebelum Seri Paduka Baginda menghadiri Majlis Santapan Negara yang diraikan Xi di bangunan sama.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang di Dewan Timur, Great Hall of People pada 3.20 petang.
Turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan itu ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Esok, Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Sultan Ibrahim turut dijadualkan berkenan menghadiri majlis penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena dengan nama Seri Paduka Baginda sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong, serta bertemu dengan diaspora Malaysia di China.
Kunjungan ini ialah Lawatan Negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Pada 2014, Yang di-Pertuan Agong ke-14 Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengadakan lawatan ke China atas jemputan Xi, bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China yang dijalin pada 31 Mei 1974.- BERNAMA