fb fb fb fb fb

WHI bantu usahawan wanita tembusi pasaran global

Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Besar / Foto RTM

BESERI, 28 Jun - Sebanyak 50 permohonan telah diterima bagi program Women in Halal Industry (WHI) sejak dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Jun lalu.

Menurut peneraju WHI merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, platform tersebut adalah inisiatif strategik yang dipimpin oleh Halal Development Corporation (HDC) bagi menyokong usahawan wanita dalam bidang halal.

''Sambutan daripada usahawan wanita dalam pelbagai bidang semakin menunjukkan perkembangan positif ketika ini sama ada dalam kalangan usahawan bumiputera mahupun bukan bumiputera," katanya pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Besar di sini, hari ini.

Tambahnya, menerusi sokongan berfokus dan peluang berskala tinggi, usahawan wanita dalam bidang halal akan dibantu setiap tahun.

Bantuan tersebut merangkumi akses kepada pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan, latihan dan bimbingan untuk menambah kemahiran, peluang menjadi pemimpin dalam industri halal, serta peluang menembusi pasaran antarabangsa.

Wanita di Parlimen Padang Besar turut digalakkan menyertai WHI bagi menambah nilai kepada perniagaan yang dijalankan serta meluaskan pasaran produk mereka.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE