fb fb fb fb fb

Waspada panggilan palsu daripada individu menyamar sebagai pegawai MCMC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai suruhanjaya itu.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, dalam tempoh seminggu lepas terdapat peningkatan kes yang diterima berhubung isu itu dengan modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.

"Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai MCMC dan memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa telah terbabit dalam kegiatan jenayah dan mendakwa sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam," katanya.

MCMC menegaskan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan pihaknya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC ataupun menerusi platform media sosial.

"MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan. Pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat peribadi individu," katanya.

Bagaimanapun MCMC menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan oleh pihak yang tidak dikenali .

"Orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call or reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki," katanya.

Sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, perkara tersebut boleh dilaporkan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, yang beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa sama, orang ramai boleh melayari portal Sebenarnya.my untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita yang tidak ditentusahihkan.

Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI