fb fb fb fb fb

Warga emas dikhuatiri maut dibaham buaya

Foto JBPM Sarawak

LAWAS, 10 September - Seorang lelaki warga emas dikhuatiri dibaham buaya ketika mandi di sebuah jambatan sungai berdekatan rumahnya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, semalam.

Mangsa, Tuah Lamat, 80, dilaporkan tidak pulang selepas mandi sekitar pukul 5.30 petang.

Ahli keluarganya hanya menemui tuala serta selipar dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian.

Penduduk kampung kemudian melakukan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai terbabit, namun gagal menemukan mangsa.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.48 petang sebelum menghantar sebuah jentera bersama empat anggota ke lokasi sejauh 22 kilometer.

"Pasukan bomba yang tiba kira-kira pukul 7.00 malam tadi di lokasi kejadian. Bagaimanapun, tiada operasi dijalankan malam tadi kerana faktor keselamatan dan keadaan persekitaran.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan digerakkan pada pukul 9.00 pagi ini. setakat ini mangsa masih belum ditemukan," menurut kenyataan itu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM