Wanita OKU maut rumah terbakar di Parit Buntar

Mangsa seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 48 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam rumah dua tingkat di Parit 310, Bagan Tiang, awal pagi tadi / foto FB orang awam

PARIT BUNTAR, 13 Mei – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Parit 310, Bagan Tiang, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu mangsa, 71 tahun, cedera pada kedua-dua tapak kaki dan diserahkan kepada KKM untuk rawatan lanjut.
  • JBPM terima panggilan kecemasan pada pukul 2.34 pagi; anggota BBP Parit Buntar, BBP Kuala Kurau dan bomba sukarela digerakkan.
  • Rumah kelas B dua tingkat bersaiz 70 x 40 kaki musnah kira-kira 70 peratus; sebuah Proton Iriz turut terbakar 70 peratus.
  • Operasi pemadaman guna dua aliran sepanjang 200 kaki, kebakaran dikawal pada 3.00 pagi dan operasi tamat pada 6.25 pagi; punca dalam siasatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 48 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.

Dalam kejadian sama, ibu mangsa berusia 71 tahun mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak kaki sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut beliau, JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.34 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, BBP Kuala Kurau serta Pasukan Bomba Sukarela digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B dua tingkat berkeluasan 70 x 40 kaki yang musnah kira-kira 70 peratus. Sebuah kereta Proton Iriz turut terbakar sebanyak 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada sumber air terbuka.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.00 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.25 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.