SejaTi MADANI jana pendapatan komuniti setempat sehingga RM10,000 sebulan

Penduduk setempat melaksanakan projek menghasilkan bantal dan tilam kekabu. Foto RTM

KANGAR, 13 Mei – Lebih 200 projek di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjaya dilaksanakan di seluruh Perlis sejak Jun 2024, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Geran antara RM50,000 hingga RM100,000 membolehkan projek menjana pendapatan komuniti antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
  • Komuniti diberi peranan sebagai pemilik, pelaksana dan penentu hala tuju, kerajaan menjadi rakan strategik menyediakan dana dan kemudahan.
  • Pelbagai projek seperti sewaan khemah, jentera pembajak, dron, pembuatan kekabu, penternakan dan ATV menjana pekerjaan serta pendapatan.
  • Pendapatan diagihkan semula kepada komuniti, membantu bakul makanan, kenduri, peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan; program disarankan diteruskan.

Menerusi geran antara RM50,000 hingga RM100,000 yang disalurkan kerajaan, projek terbabit berjaya menjana pendapatan komuniti antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Pendekatan program itu dilihat berbeza apabila komuniti diberi peranan sebagai pemilik, pelaksana dan penentu hala tuju projek, manakala kerajaan bertindak sebagai rakan strategik menyediakan dana serta kemudahan berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah Norhayati Hashim berkata, kampung itu menerima peruntukan sebanyak RM90,000 yang digunakan bagi pembelian enam khemah serta lebih 200 set meja dan kerusi untuk disewakan kepada penduduk.

Katanya, hasil pendapatan daripada projek itu turut dimanfaatkan semula kepada komuniti melalui bantuan bakul makanan ketika musim perayaan selain sumbangan kepada penduduk yang mengadakan majlis kenduri.

“Kita juga beri peluang pekerjaan kepada golongan muda kampung terutama bagi kerja pemasangan khemah dan persiapan majlis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Pak Lengah Hazim Mat, berkata kampung berkenaan menggunakan peruntukan awal RM90,000 bagi pembelian jentera pembajak sawah termasuk kos operasi dan penyelenggaraan.

“Peruntukan awal daripada SejaTi MADANI kita dapat dalam RM90,000, kami gunakan untuk pembelian jentera pembajak tanah. Selain daripada itu (SejaTi MADANI) membantu dari segi permodalan lain antaranya minyak, dan penyelenggaraan jentera tersebut. Dan Alhamdulillah, projek yang kami jalankan, menjana keuntungan awal kira-kira RM6,000,” katanya.

Menerusi inisiatif SejaTi MADANI, pelbagai projek bejaya dilaksanakan antaranya perkhidmatan dron, pembuatan bantal dan sarung kekabu, penternakan ikan dan lembu pedaging serta aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).

Komuniti setempat melaksanakan projek perkhidmatan dron siraman baja atau racun untuk tanaman padi. Foto RTM

Pelaksanaan projek berkenaan diakui secara tidak langsung membantu membangunkan modal insan selain mewujudkan ekosistem ekonomi lebih lestari dan inklusif khususnya di kawasan kampung.

Bagi Pengerusi JPKKP Taman Angsana Ibrahim Ismail pula, program SejaTi MADANI memberi manfaat terus kepada masyarakat akar umbi yang sebelum ini kurang menerima peluang seumpama itu.

“Selama ini kita tidak dapat (peluang ini). Sekarang ia memberi manfaat kepada semua cawangan atau kawasan. Manakala setiap keuntungan yang dijana menerusi projek dijalankan, boleh diagih kepada penduduk setempat. Dan sasaran kami adalah sehingga 30 peratus keuntungan diserahkan kepada kawasan ini,” katanya.

Program SejaTi MADANI diharap akan diteruskan pada masa hadapan susulan impaknya yang dilihat mampu memperkukuh ekonomi komuniti serta meningkatkan keupayaan rakyat menjana pendapatan secara berdikari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.