PERMATANG PAUH, 12 Mac- Seorang wanita yang kehilangan sumber pendapatan tetap selepas suaminya mengalami masalah kesihatan menerima bantuan kewangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bantuan disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, kepada penerima, Norizan Jaafar di Kampung Tun Sardon di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Farhan memaklumkan keadaan suami Norizan yang tidak lagi mampu bekerja menyebabkan keluarga itu kehilangan sumber pendapatan stabil, sekali gus memberi tekanan besar terhadap kos kehidupan dan keperluan pendidikan anak-anaknya.
"Dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami berusaha memastikan Puan Norizan sekeluarga mendapat sokongan berterusan, sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan tegar.
"Semoga dengan inisiatif ini, Puan Norizan dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan memberi tumpuan kepada masa depan anak-anaknya, insya-Allah," kata Ahmad Farhan.