ISTANBUL, 4 Mac – Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima universiti terkemuka di Turkiye bagi menjalin kerjasama di dalam beberapa bidang utama.
Selain kerjasama akademik dan pembangunan mahasiswa, MoU berkenaan turut memberi fokus kepada bidang inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara universiti.
MoU ditandatangani Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan bersama rektor universiti terlibat.
Karabuk University diwakili Rektornya, Profesor Dr Fatih Kirisik, Ankara Yildrim Beyazit University pula diwakili Profesor Dr Ali Cengiz Koseoglu dan Dicle University oleh Profesor Dr Mehmet Karakoc.
Rektor Gebze Technical University, Profesor Dr Haci Ali Mantar dan Naib Rektor Mardin Artuklu University, Profesor Dr Yilmaz Demirhan turut memeterai MoU dengan UUM di Istanbul.
Majlis menandatangani MoU, disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
MoU ini bakal menjadi platform bersama untuk membangunkan idea yang memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti terlibat tetapi menyumbang kepada pembangunan Malaysia dan Turkiye.
Menerusi kerjasama ini juga, hubungan strategik, berkesan dan bersifat perancangan masa hadapan akan dibina antara UUM dan lima universiti tersebut menerusi pelantikan profesor pelawat, penyeliaan bersama program pasca siswazah, penerbitan dan penyelidikan akademik bersama.
Bagi program mobiliti mahasiswa, ia akan dilaksana di bawah Program Pertukaran Mevlana dan dibiayai dana Farabi, manakala mobiliti kakitangan universiti melalui pembiayaan Erasmus.
Pelaksanaan MoU berkenaan turut merangkumi penganjuran seminar dan webinar bersama, program kerjasama akademik seperti penawaran ijazah berganda.
Bidang kerjasama ini bakal menyediakan peluang kepada penyelidik dan pelajar memperoleh ilmu pengetahuan selain meningkatkan kemahiran menerusi pemindahan ilmu dan kepakaran.
Ia sekaligus memberi nilai tambah kepada industri di kedua-dua negara, untuk kekal berada di hadapan berbanding pesaing di dalam bidang yang sama.
UUM berharap dapat memainkan peranan kolektif dalam usaha meningkatkan nilai mahasiswa melalui pendidikan, penyampaian ilmu dan pengalaman serta membina kemahiran mereka.