fb fb fb fb fb

Utamakan semangat kesukanan, bijak kawal emosi - Presiden MALA

Seorang pengadil dikejar dan diserang pemain dalam perlawanan Kejohanan 9 Sebelah anjuran MALA di Manjung, Perak

BANDARAYA MELAKA, 21 November - Semua pihak perlu bijak mengawal emosi dan mengutamakan semangat kesukanan, kata Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) rentetan insiden seorang pengadil cedera selepas diserang pemain dalam satu kejohanan bola sepak yang diadakan di daerah Manjung, Perak kelmarin.

Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya akan memastikan kejadian berkenaan tidak akan berulang lagi selain mengutamakan aspek keselamatan sekiranya membabitkan pertandingan atau liga anjuran MALA selepas ini.

"Saya juga menasihatkan kepada pihak berkuasa tempatan yang lain, apabila kita menganjurkan aktiviti seperti ini dia mesti mengekalkan semangat berpasukan. Semangat kesukanan ini perlu dipertingkatkan. Isu-isu kecil ini tak perlu diperbesarkan, kalau boleh kita kawal perasaan ketika bersukan dan sebagainya.

"Pada masa akan datang, perkara seperti ini tidak akan berulang lagilah dan kita akan cuba pertingkatkan keselamatan untuk semua dalam apa jua pertandingan yang kita laksanakan nanti," katanya kepada RTM.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai insiden berkenaan kerana masih dalam siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 30 saat memaparkan seorang pengadil perlawanan Kejohanan 9 Sebelah anjuran MALA di Manjung, Perak, cuba melarikan diri selepas beberapa pemain mengejar dan cuba menyerangnya.

Mangsa yang berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera di bahagian pinggang dan kaki akibat ditendang selepas mengumumkan keputusan perlawanan dan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan sengaja yang boleh dihukum dengan penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN:
Pengadil cedera dipukul tiga lelaki dalam perlawanan bola sepak

GRACE AISYAH KEDAYAN