fb fb fb fb fb

Usul Parlimen Belia Wilayah Persekutuan, panduan gubal dasar belia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Jun - Kesemua sembilan usul diluluskan dalam Sidang Belia Wilayah Persekutuan yang berlangsung tiga hari sejak 21 Jun lepas, akan dijadikan panduan kerajaan untuk menggubal dasar berkait belia agar ia memenuhi keperluan golongan itu dengan lebih inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pelaksanaan usul yang diluluskan akan diberi keutamaan di peringkat Wilayah Persekutuan selepas melalui proses penelitian terperinci.

"Penting kita libatkan belia agar kita dapat merangka polisi yang bersasarkan belia dan beri impak lebih inklusif buat mereka.

"Seperti mana sebelum ini (sidang terdahulu), antara usul yang mereka bawa kita jadikan sebagai panduan untuk rangka polisi di peringkat Wilayah Persekutuan dan ada juga saya bawa ke peringkat kabinet, telah dipersetujui dan diambil tindakan juga," katanya.

Datuk Seri Dr. Zaliha ditemui media selepas menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Mesyuarat Pertama Sidang Belia Wilayah Persekutuan Penggal 2025, di sini.

Sidang Belia Wilayah Persekutuan kali ini melibatkan 65 perwakilan belia daripada 13 kawasan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Antara sembilan usul diluluskan termasuk penubuhan KL YouthForce, elaun latihan industri khususnya di sektor swasta, dan penguatkuasaan penempatan warga asing tanpa izin sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, pelaksanaan usul melibatkan kementerian dan agensi lain, Datuk Seri Dr. Zaliha berkata perkara tersebut akan dipanjangkannya kepada pihak terlibat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI