
PUTRAJAYA, 1 Mac– Usul mengutuk serangan terhadap Iran akan dibawa Perdana Menteri ke Parlimen pada Isnin.
- Perdana Menteri akan membawa usul mengutuk serangan terhadap Iran ke Parlimen pada Isnin.
- Usul bertujuan mendapatkan sokongan ahli Parlimen sebagai simbol solidariti Malaysia kepada mangsa.
- Malaysia menolak sebarang pencerobohan dan keganasan serta menggesa kelulusan ketetapan negara.
- Tindakan rejim dikatakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan berisiko menggugat keamanan serantau.
Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, usul tersebut dijangka dibentangkan bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen sebagai simbol solidariti Malaysia terhadap mangsa kezaliman.
Ia juga sebagai mesej jelas bahawa Malaysia menolak sebarang bentuk pencerobohan serta kekerasan.
Menurutnya, Malaysia telah menyatakan pendirian tegas mengutuk serangan berkenaan dan akan mengemukakan usul rasmi supaya Dewan Rakyat meluluskan ketetapan tersebut sebagai pendirian negara.
“Bahawa esok (Isnin), saya akan bawa usul di Parlimen Malaysia agar kita meluluskan usul mengutuk serangan biadab ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza.
Tegas Perdana Menteri, tindakan rejim zionis adalah satu kezaliman, pelanggaran hukum antarabangsa serta kebiadaban yang berulang, selain mencerminkan kegagalan menghormati prinsip kemanusiaan sejagat.
Tindakan Israel yang didakwa mendapat sokongan Amerika, wajar dikecam secara terbuka kerana ia berpotensi menggugat kestabilan rantau dan keamanan global.