fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi teliti kaedah tingkat pendapatan pengamal media

Fahmi Fadzil

KUCHING, 8 Ogos- Kementerian Komunikasi sedang meneliti kaedah untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan pengamal media di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk mengenal pasti petugas media yang bekerja dengan syarikat swasta untuk mendapat manfaat daripada dasar gaji progresif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Mekanisme dasar gaji progresif ini sudah ada. Kerajaan memperuntuk RM50 juta sebagai insentif untuk syarikat yang turut serta dan kita jangka ia dapat membantu sehingga sejuta pekerja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan bersama ahli-ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi meminta Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) membantu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam mengenal pasti pengamal media yang terkesan akibat masalah kesihatan dan kehilangan pekerjaan untuk dibantu di bawah Tabung Kasih@HAWANA.

Jelasnya hampir 500 orang telah dibantu di bawah tabung itu yang diwujudkan sejak 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media sama ada masih dalam perkhidmatan mahupun sudah bersara, yang uzur atau memerlukan bantuan.

"Kalau boleh pihak KDJA membantu Bernama mengurus bantuan Tabung Kasih@HAWANA untuk memastikan rakan-rakan media yang terkesan akibat pelbagai isu, kurang sihat atau kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan dengan segera," katanya.

SITI AISHAH MD ISA