UM manfaat lebihan makanan sebagai bahan pembelajaran kanak-kanak

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima, kiri) menyampaikan pengiktirafan kepada Tabika KEMAS Felda Jelai 1, Tampin yang muncul johan Projek Rintis SustainEDU Junior menerusi inovasi cemerlang dalam amalan kelestarian hijau, pada Julai lepas

KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Universiti Malaya (UM) memanfaatkan lebihan makanan sebagai bahan pembelajaran kanak-kanak di 50 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Negeri Sembilan menerusi projek rintis SustainEDU Junior.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebihan makanan diolah menjadi kompos dan baja biokompos untuk menyuburkan kebun komuniti.
  • Pendekatan praktikal membolehkan kanak-kanak belajar kelestarian dengan melihat lebihan makanan jadi kompos dan tanaman membesar.
  • Pendidik dilatih dengan kit kompos untuk menghasilkan baja cecair dalam tujuh hari dan baja pepejal dalam 14 hari.
  • Inisiatif melibatkan komuniti, menjana pendapatan sampingan dan mengurangkan lebihan makanan ke tapak pelupusan.

Projek yang diterajui Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM) dengan kerjasama Yayasan Human Life Advancement (HLAF) dan Heritage Environment Sdn. Bhd. itu menggunakan lebihan makanan seperti kulit buah, sayur dan makanan yang tidak habis untuk menghasilkan kompos sebelum digunakan bagi menyuburkan kebun komuniti.

Ketua projek yang juga Pensyarah Kanan PASUM, Dr Nor Azlina Abd. Aziz berkata pendekatan itu membolehkan pendidikan kelestarian diperkenalkan kepada kanak-kanak melalui pengalaman secara langsung tanpa bergantung kepada pemahaman terhadap istilah yang kompleks.

“Kanak-kanak mungkin belum memahami istilah yang besar seperti kelestarian atau sifar sisa, tetapi mereka boleh memahami melalui pengalaman.

“Apabila mereka sendiri melihat lebihan makanan berubah menjadi kompos, menggunakan kompos itu pada tanaman dan kemudian melihat tanaman tersebut membesar, mereka sedang mempelajari keseluruhan kitaran itu secara semula jadi,” katanya.

Projek itu bermula dengan hampir 100 pendidik daripada 50 Tabika KEMAS Negeri Sembilan mengikuti bengkel pengkomposan secara praktikal di Kuala Pilah.

Mereka dibekalkan kit kompos dan dilatih mengolah lebihan makanan menjadi baja biokompos cecair dalam tempoh tujuh hari, sebelum menghasilkan baja biokompos pepejal dalam tempoh 14 hari berikutnya.

Aktiviti pengkomposan dan kebun komuniti kemudian diintegrasikan ke dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Nilai Murni, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM), selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Kanak-kanak turut terlibat secara langsung dalam aktiviti menyediakan bahan, menanam anak benih, membaja, menyemai dan menuai hasil tanaman.

Pendekatan itu memberi peluang kepada kanak-kanak memahami konsep kelestarian menerusi aktiviti yang boleh dilihat dan dilakukan sendiri.

Pensyarah Kanan PASUM, Dr Ahmad Husaini Suhaimi berkata pemindahan teknologi tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu bengkel selesai, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amalan yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

“Teknologi itu hanya benar-benar memberi makna apabila ia boleh digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian.

“Dalam projek ini, teknologi pengkomposan dibawa ke persekitaran yang sangat dekat dengan komuniti. Guru boleh menggunakannya, kanak-kanak boleh terlibat dan keluarga juga boleh melihat sendiri bagaimana lebihan makanan yang biasanya dibuang sebenarnya masih mempunyai nilai,” katanya.

Setiap tabika yang terlibat membangunkan stesen kompos dan kebun komuniti dengan kerjasama penduduk setempat, sekali gus membolehkan amalan kelestarian diperluas daripada persekitaran tabika kepada keluarga dan komuniti.

Pemantauan selepas tiga bulan mendapati sesetengah tabika turut berjaya menjana pendapatan sampingan menerusi jualan baja biokompos dan hasil tanaman organik.

Tabika KEMAS Felda Jelai 1, Tampin pula muncul sebagai juara Projek Rintis SustainEDU Junior menerusi inovasi hijau yang dilaksanakan.

Menurut Dr Nor Azlina, pendidikan awal boleh menjadi asas kepada pembentukan amalan pengurusan makanan dan kelestarian yang lebih baik dalam kalangan generasi akan datang.

“Kita selalu bercakap tentang bagaimana hendak mengubah tabiat masyarakat terhadap sisa. Tetapi mungkin kita juga perlu melihatnya dari sudut yang satu lagi.

“Bagaimana kalau generasi seterusnya membesar dengan menganggap mengasingkan lebihan makanan, membuat kompos dan menanam makanan sebagai perkara biasa dalam kehidupan mereka?” katanya.

SustainEDU Junior Negeri Sembilan dilancarkan secara rasmi pada 25 Julai lepas oleh Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man sempena Hari Kemahiran dan Alpha Gen Talents (Potensi) KEMAS peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah.

Projek itu turut melengkapi program Pintar Botani sedia ada dengan menerapkan elemen STREAM serta berteraskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Pada skala lebih luas, inisiatif berkenaan menyokong usaha memperkukuh pendidikan kelestarian, menggalakkan penggunaan sumber secara bertanggungjawab serta mengurangkan jumlah lebihan makanan yang berakhir di tapak pelupusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.