Uji Bakat Bintang Kecil peringkat KL, Putrajaya cari peserta versatil

Sesi uji bakat Bintang Kecil 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Aspek persembahan, keyakinan dan kemampuan menyanyikan pelbagai genre lagu menjadi antara kriteria utama penilaian juri dalam sesi uji bakat Bintang Kecil 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panel juri terdiri daripada wakil RTM dan jemputan luar yang menilai kualiti vokal, penampilan serta kebolehan spontan peserta.
  • Penganjur komited mencungkil bakat muda lengkap termasuk keterampilan, kesesuaian imej dan kesiapsiagaan mental peserta.
  • Proses saringan dipercepatkan untuk memilih 20 peserta terbaik, dengan pemilihan wakil Kuala Lumpur diadakan pada keesokan hari.

Penerbit Bintang Kecil Kuala Lumpur, Ashila Ashura berkata, panel juri yang terdiri daripada wakil RTM dan jemputan luar bukan sahaja menilai kualiti vokal serta penampilan peserta, malah menguji keupayaan peserta yang menyanyikan lagu pelbagai genre secara spontan.

“Pihak juri dan pengurusan sentiasa komited mencari bakat-bakat muda yang mempunyai pakej lengkap. Penilaian bukan sahaja dibuat berdasarkan kualiti vokal, malah turut merangkumi aspek keterampilan, kesesuaian imej serta tahap kesediaan mental peserta.

“Sebagai contoh, sekiranya juri meminta peserta menukar genre nyanyian secara spontan, daripada lagu bahasa Inggeris kepada lagu Melayu, dangdut atau pop rock, mereka perlu mampu melaksanakannya dengan baik.

“Keberanian dan fleksibiliti seperti inilah yang membuktikan bahawa mereka benar-benar bersedia serta tidak gentar untuk beraksi di hadapan khalayak ramai, walau apa jua cabaran lagu yang diberikan,” katanya.

Penerbit Bintang Kecil Kuala Lumpur, Ashila Ashura

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Uji Bakat Bintang Kecil 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Auditorium P. Ramlee, Wisma Radio Angkasapuri hari ini.

Penganjuran kali ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat nyanyian, malah memberi pendedahan awal kepada peserta untuk membina keyakinan membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

“Penganjuran kali ini bertujuan untuk mengajak generasi muda mencungkil serta menampilkan bakat terpendam mereka.

“Selain menjadi platform taruhan bakat, program ini turut mendidik para peserta agar lebih berkeyakinan tinggi, terutamanya apabila berhadapan dengan barisan juri profesional dan penonton,” katanya lagi.

Berbeza dengan penganjuran sebelum ini proses saringan kali ini dilaksanakan dengan lebih pantas untuk memilih 20 peserta terbaik bagi edisi kali ini.

“Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang memerlukan tempoh antara satu hingga dua minggu untuk menyenaraikan 20 peserta terbaik, proses saringan kali ini dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Sejurus sesi uji bakat berakhir hari ini, saringan bagi memilih 20 peserta terbaik yang akan mewakili Kuala Lumpur akan diadakan pada keesokan harinya,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.