MOTAC teliti cadangan harga lantai pakej umrah

Kaabah/AFP

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti cadangan pelaksanaan penetapan harga lantai bagi pakej umrah bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara serta mengelakkan amalan persaingan tidak sihat dalam kalangan pengendali pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOTAC meneliti cadangan penetapan harga lantai pakej umrah untuk menjaga kebajikan jemaah dan elakkan persaingan tidak sihat.
  • Mekanisme termasuk kadar minimum dan senarai perkhidmatan wajib yang setiap pengendali mesti sediakan.
  • Pengumuman perlu dimuktamadkan segera; pengendali boleh tawar kategori tetapi tidak boleh turun bawah paras lantai.
  • Industri diingatkan elak penyalahgunaan lesen, amalan tidak beretika, dan tingkatkan kualiti serta kerjasama strategik.

Mekanisme itu turut merangkumi penetapan kadar minimum harga bersama senarai perkhidmatan wajib yang perlu disediakan oleh setiap pengendali pakej umrah.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkara tersebut perlu dimuktamadkan segera sebelum diumumkan kepada pemain industri dalam masa terdekat.

“Saya mahu Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) menyegerakan perkara ini. Sebelum penghujung bulan, kita mesti membuat pengumuman dan memaklumkan kepada semua ejen pelancongan bahawa inilah terma rujukan yang perlu dipatuhi,” katanya pada Majlis Perasmian Edisi Kedua MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026, di sini.

Beliau menjelaskan, pengendali masih boleh menawarkan pakej mengikut kategori seperti Gold, Silver dan Platinum, namun tidak dibenarkan menetapkan harga di bawah paras lantai yang ditetapkan.

“Saya tidak mahu berlaku keadaan apabila jemaah telah membayar untuk menunaikan umrah tetapi tidak dapat berlepas atau pulang ke tanah air. Lebih membimbangkan apabila mereka tiba di Tanah Suci, mereka gagal menunaikan ibadah seperti dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemain industri pelancongan supaya mengelakkan amalan menyewakan lesen kepada pihak lain serta menjalankan perniagaan secara beretika.

Kementerian turut memandang serius isu penyalahgunaan lesen dan operasi pengendali pelancongan tidak berlesen yang boleh menjejaskan imej industri pelancongan negara.

Beliau menegaskan, pemain industri perlu memperkukuh daya saing melalui peningkatan kualiti perkhidmatan dan kerjasama strategik bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.