fb fb fb fb fb

Ubah suai KSAS Kelantan, libatkan pelbagai pihak dan agensi - NRECC

Foto Fail

GUA MUSANG, 5 November- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bakal mengadakan mesyuarat mengenai cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Kelantan bersama pihak berkaitan, dua minggu lagi.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya itu akan melibatkan beberapa agensi kerajaan.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta kerajaan negeri Kelantan.

"Kita akan panggil semua pihak. Bagi saya, ini terbuka sebab dia ada proses yang mana semua pihak termasuk penduduk boleh nyatakan pandangan dan pendirian mereka.Soal air dan banjir, semua ada kaitan termasuk membabitkan hidupan liar dan manusia.

Saya berharap sesiapa saja yang prihatin boleh turut serta dalam perkara tersebut. Kita akan lihat daripada aspek kawasan hutan dan kawasan sensitif alam sekitar," kata Nik Nazmi kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Alam Sekitar Negara 2023 di Pusat Komuniti Orang Asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini.

Sebelum ini, Nik Nazmi berkata kerajaan bercadang menghentikan pembayaran EFT kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS di negeri itu diteruskan.

Katanya, pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberi implikasi, antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50% keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara.

Pada 29 Oktober lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan masih pada peringkat program pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) yang bermula 11 Oktober hingga 11 November ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM