
PUTRAJAYA, 28 September — Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkongsi kenangan istimewa bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali apabila kedua-duanya berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 12 Julai.
- Kenangan memotong kek bersama Tun Dr Mahathir dan Allahyarham di Baltimore sekitar 2012/2013, momen yang tidak akan dilupakan.
- Allahyarham kerap bertanya khabar dan kebajikan anggota kawalan khas, termasuk soal makan dan rehat selepas tugasan.
- Beliau dianggap pendorong serta penyokong terkuat Tun Dr Mahathir dan sentiasa mengenali anggota tugas khas pada pertemuan berikutnya.
Kenangan itu tercipta ketika beliau ditugaskan mengawal keselamatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham dalam satu tugasan di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.
Menurutnya, Allahyarham secara tiba-tiba mengingati tarikh lahir mereka yang sama dan mengajaknya menyambut hari istimewa itu bersama.
“Tiba-tiba Allahyarham teringat saya ada di situ dan memanggil saya masuk. Beliau kata, ‘Suhaili, tarikh lahir kamu sama dengan saya, kan? Mari kita sambut bersama-sama’.
“Allahyarham minta Tun M duduk di sebelah kanan saya, manakala beliau di sebelah kiri. Kami bertiga memegang pisau dan memotong kek bersama. Itu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada Istiadat Pengebumian bertaraf Pembesar Negara di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini.
Mengenang kembali perkhidmatannya di Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata beliau kerap ditugaskan mengawal keselamatan pasangan itu dalam siri penugasan luar negara.
Menurut beliau, Allahyarham tidak pernah alpa bertanyakan khabar serta kebajikan anggota kawalan khas setiap kali selesai menjalankan tugas.
“Setiap kali habis tugasan, setiap hari Allahyarham akan tanya kami, ‘Korang dah makan ke belum?’ atau ‘Cukup tak rehat kamu?’. Bagi kami yang berada dalam pasukan kawalan khas, Allahyarham seperti seorang ibu. Meremang bulu roma saya apabila mengenangkan perkara ini,” katanya.
Tambah beliau, ingatan Allahyarham yang kuat terhadap anggota tugas khas turut terbukti apabila Allahyarham masih mengenali dirinya setiap kali mereka bertemu selepas peristiwa berkenaan.
Mengulas mengenai gandingan dua figura negara itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily menyifatkan Allahyarham sebagai pendorong dan penyokong terkuat di belakang Tun Dr Mahathir sepanjang hayatnya.